Elakkan Penyebaran Bakteria Dengan Menjaga Kebersihan Diri Dan Ruangan Penyediaan Makanan.
Mengapa ia penting?
Bakteria penyebab penyakit mampu hidup di merata tempat dan juga di seluruh dapur anda termasuk tangan, perkakas dapur dan papan pemotong terutama yang diperbuat daripada kayu.
Anda boleh menyebarkan bakteria tersebut kepada makanan dan keluarga anda melainkan anda mencuci tangan, perkakas dapur dan permukaan di dapur dengan teknik yang betul.
Berikut merupakan tip-tip utama dalam memastikan anda tidak menyebarkan bakteria dan menjamin keselamatan keluarga anda.
Basuh tangan dengan teknik yang betul.
Basuh tangan selama 20 saat dengan menggunakan sabun dan air yang mengalir seperti yang disarankan dalam 7 langkah mencuci tangan dengan betul. Membasuh tangan dengan cara yang betul dapat menghalang penyebaran bakteria penyebab penyakit.
Adalah menjadi amalan yang baik sekiranya dapat mengamalkan membasuh tangan pada keadaan yang berikut:
- Sebelum makan.
- Sebelum, semasa dan selepas menyediakan makanan.
- Sebelum dan selepas merawat luka.
- Sebelum dan selepas menjaga orang sakit.
- Sebelum dan selepas melawat orang sakit.
- Selepas mengendalikan telur mentah, daging mentah, ayam, makanan laut atau jus yang dihasilkan dari bahan mentah tersebut.
- Selepas menghembus hidung, batuk atau bersin.
- Selepas menyentuh binatang atau selepas mengendalikan najis binatang tersebut.
- Selepas menyentuh sampah.
- Selepas menggunakan tandas.
Basuh permukaan perkakas dapur sebelum dan selepas setiap kali digunakan.
Bakteria boleh merebak ke seluruh dapur, papan pemotong, perkakasan dapur dan di atas kaunter atau meja. Untuk mengelakkan ini terjadi, langkah tersebut perlu diamalkan:
- Gunakan tuala kertas atau kain bersih untuk mengelap permukaan dapur atau tumpahan.Kain yang digunakan untuk mengelap hendaklah sering dicuci dengan menggunakan air panas.
- Basuh papan pemotong, pinggan mangkuk, perkakasan dapur yang digunakan, dan bahagian atas kaunter atau meja dengan menggunakan air panas dan campuran sabun selepas menyediakan makananan dan sebelum menyediakan hidangan yang seterusnya.
- Sebagai langkah berjaga-jaga, 1 sudu kecil cecair klorin “chlorine” peluntur yang tidak berbau dicampurkan bersama 1 gelen air boleh digunakan untuk sanitasi permukaan kaunter atau meja dan juga perkakasan dapur
Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran tetapi bukan daging, ayam dan telur.
Buah-buahan dan sayuran harus dibasuh dahulu walaupun bahagian kulitnya akan dikupas kerana bakteria yang terdapat di bahagian kulitnya boleh merebak ke bahagian isi semasa proses pemotongan kulit buah dan sayuran.
Berikut merupakan cara membasuh sayuran atau buah-buahan dengan berkesan:
- Potong dan buang mana-mana bahagian yang rosak atau lebam
- Bilas hasil tersebut di bawah air yang mengalir tanpa menggunakan sabun, bahan pencuci, peluntur atau mana-mana pencuci yang berada di pasaran.
- Sekiranya ia merupakan jenis seperti tembikai atau timun, pastikan bahagian luarnya diberus menggunakan berus yang bersih.
- Keringkan dengan menggunakan kertas tisu atau tuala yang bersih.
Kenapa ayam, daging dan telur tidak boleh dicuci?
Ini adalah kerana dikhuatiri dengan membasuh produk tersebut, air percikan ini akan terkena pada bahagian sinki dan kaunter pemprosesan makanan. Namun begitu, di Malaysia, telur yang dijual dipasaran tidak dibasuh, bukan seperti di negara luar. Oleh itu disarankan membasuh dahulu telur di sinki khas, dikeringkan baru ia diletakkan di dalam bekas khas telur yang bersih.