AKTA MAKANAN 1983
Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009
SUSUNAN PERATURAN
Bahagian I
PERMULAAN
Peraturan
1. Nama
2. Tafsiran
Bahagian II
PENDAFTARAN PREMIS MAKANAN
3. Premis makanan yang hendak didaftarkan
4. Permohonan untuk pendaftaran
5. Perakuan pendaftaran
6. Tempoh sah perakuan
7. Permohonan untuk pembaharuan perakuan
Bahagian III
PENJALANAN DAN PENYELENGGARAAN PREMIS MAKANAN
Bab 1–Kewajipan tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan
Peraturan
8. Mempamerkan perakuan pendaftaran, notis dsb., dalam premis
makanan
9. Program jaminan keselamatan makanan
10. Sistem kebolehkesanan makanan
11. Kewajipan am tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan
Bab 2–Kehendak am bagi premis makanan
12. Lokasi
13. Reka bentuk am
14. Bekalan air
15. Kebersihanan premis makanan
16. Kawalan perosak di premis makanan
17. Pelupusan sampah
Bab 3–Kehendak khas bagi premis makanan
18. Permukaan lantai
19. Permukaan dinding
20. Pencahayaan
21. Pengalihudaraan
22. Siling
23. Pintu
24. Perabot, lengkapan dan permukaan yang menyentuh makanan
25. Penyimpanan makanan
26. Bilik persalinan
27. Sink cuci tangan
28. Bilik tandas
29. Kemudahan penyaliran
Bahagian IV
PENGENDALI MAKANAN
Bab 1–Latihan, pemeriksaan perubatan dan keadaan kesihatan, pakaian dan kebersihan diri pengendali makanan
Peraturan
30. Latihan pengendali makanan
31. Pemeriksaan perubatan dan keadaan kesihatan pengendali makanan
32. Pakaian pengendali makanan
33. Kebersihan diri pengendali makanan
34. Kewajipan untuk mengekalkan premis makanan bersih
Bab 2–Perlindungan makanan
35. Pengendalian makanan, perkakas, dsb.
36. Penyediaan, pembungkusan dan penghidangan makanan
37. Penyimpanan, pendedahan atau pameran makanan untuk dijual
38. Penyimpanan makanan
Bahagian V
KEHENDAK KHAS DALAM PENGENDALIAN, PENYEDIAAN, PEMBUNGKUSAN, PENYAJIAN, PENYIMPANAN DAN PENJUALAN MAKANAN KHUSUS
Bab 1–Daging
39. Penyediaan daging
40. Pengangkutan daging
41. Penjualan daging
Bab 2–Ikan
42. Memunggah dan menurunkan ikan
43. Pengendalian ikan segar
44. Pengendalian krustasea atau moluska
45. Penyimpanan ikan
46. Pengangkutan ikan
47. Penjualan ikan dingin dan sejuk beku
Bab 3–Aiskrim dan konfeksi sejuk beku
Peraturan
48. Penyediaan, pembungkusan atau penjualan aiskrim atau konfeksi sejuk beku
49. Kelakuan orang yang menjual aiskrim atau konfeksi sejuk beku
Bab 4–Susu
50. Kehendak suhu
51. Penjualan susu
Bab 5–Ais
52. Pengangkutan, penyimpanan dan hantar serah ais
Bab 6–Mesin jual
53. Pemasangan mesin jual makanan atau mesin jual air
54. Mesin jual makanan
55. Mesin jual air
Bahagian VI
PENGANGKUTAN MAKANAN
56. Pengangkutan makanan
Bahagian VII
PELBAGAI
57. Penyediaan dsb., makanan dalam premis makanan
58. Kesalahan yang boleh dikompaun
59. Pengkompaunan kesalahan
60. Pembayaran kompaun
Jadual
AKTA MAKANAN 1983
Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009
Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh seksyen 34 Akta Makanan 1983 [Akta 281], Menteri membuat peraturan-peraturan yang berikut:
Bahagian I
PERMULAAN
Nama
1. Peraturan-peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Tafsiran
2. Dalam Peraturan-Peraturan ini, melainkan jika konteksnya mengkehendaki makna yang lain—
“air minuman” ertinya apa-apa air yang mematuhi piawaian yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 [P.U. (A) 437/1985];
“bahan cemar mikrobiologi” termasuklah virus, bakteria, kulat dan toksinnya tetapi tidaklah termasuk mikroorganisma yang dibenarkan untuk ditambah ke dalam makanan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985;
“bekas kedap” termasuklah semua bentuk bekas atau pembungkus yang kedap udara;
“bersih” ertinya suatu keadaan atau apa-apa hal keadaan yang tidak membawa kepada, atau menyebabkan apa-apa pencemaran makanan dengan kotoran atau bahan lain yang tidak menyenangkan seperti sisa makanan, tanah, kotoran atau gris;
“daging” ertinya daging atau hasil daging sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985;
“ikan” ertinya ikan dan hasil ikan sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985;
“makanan cepat rosak” ertinya apa-apa makanan yang mudah rosak atau busuk dengan cepat;
“makanan risiko tinggi” ertinya semua makanan tersedia atau makanan yang telah dimasak yang boleh membantu pertumbuhan mikroorganisma berjangkit atau toksigen dengan cepat dan progresif;
“mesin jual air” ertinya apa-apa mesin layan diri yang apabila dimasukkan syiling, token atau melalui apa-apa cara lain akan secara automatik mendispens unit isi padu air untuk diminum atau kegunaan lain yang melibatkan kemungkinan
air itu diminum oleh manusia;
“mesin jual makanan” ertinya apa-apa mesin layan diri yang apabila dimasukkan syiling, token atau melalui apa-apa cara lain akan secara automatik mendispens, unit makanan atau minuman sama ada dalam bentuk pukal atau dalam bentuk bungkusan;
“pemunya” ertinya mana-mana orang yang pada masa ini menerima sewa bagi mana-mana premis makanan, sama ada bagi dirinya sendiri atau sebagai ejen atau pemegang amanah atau sebagai penerima, atau yang akan menerima sewa itu jika tanah atau rumah yang terdapat di dalam premis itu disewakan kepada seseorang penyewa;
“pengendali makanan” termasuklah mana-mana orang yang—
(a) terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan;
(b) menyentuh makanan atau permukaan yang menyentuh makanan; dan
(c) mengendalikan makanan yang dibungkus atau tidak dibungkus, atau perkakas, dalam mana-mana premis makanan;
“penghuni” ertinya orang yang menjaga dan bertanggungjawab menjalankan, mengawas dan menguruskan perniagaan hari ke hari di premis makanan;
“perkakas pakai buang” ertinya apa-apa perkakas, peralatan, radas atau apa-apa barang lain yang ditetapkan untuk digunakan sekali sahaja dalam penyediaan, penyimpanan, pameran, pengambilan atau penjualan apa-apa makanan;
“permukaan yang menyentuh makanan” ertinya permukaan kelengkapan yang kebiasaannya menyentuh makanan;
“perosak” ertinya mana-mana haiwan yang berkebolehan mencemarkan makanan secara langsung atau tidak langsung;
“premis makanan” mempunyai erti yang sama di bawah Akta;
“program jaminan keselamatan makanan” ertinya suatu sistem amalan yang terancang dan didokumenkan yang memberi jaminan bahawa mana-mana jenis makanan tertentu tidak akan memudaratkan pengguna apabila ia dimakan;
“rosak” ertinya berada dalam suatu keadaan yang menyebabkannya tidak sesuai untuk digunakan, dan termasuklah perkakasan yang rosak, pecah, sumbing, retak atau karat;
“sanitasi” ertinya bebas daripada apa-apa keadaan atau hal keadaan yang menjejaskan kesihatan dan termasuklah apa-apa keadaan atau hal keadaan yang boleh membawa kepada, atau menyebabkan pencemaran makanan dengan bahan
cemar mikrobiologi atau bahan toksik yang boleh menyebabkan makanan itu berbahaya kepada kesihatan;
“susu” ertinya susu atau hasil susu sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985;
“tuan punya” ertinya mana-mana orang yang memiliki atau menjalankan perniagaan makanan, atau jika orang itu tidak dapat dikenal pasti, seseorang yang menjaga perniagaan makanan itu.
Bahagian II
PENDAFTARAN PREMIS MAKANAN
Premis makanan yang hendak didaftarkan
3. (1) Tiada seorang pun boleh menggunakan mana-mana premis makanan yang dinyatakan dalam Jadual Pertama bagi maksud, atau yang berkaitan dengan penyediaan, pengawetan, pembungkusan, penyimpanan, penghantaran, pengedaran atau penjualan apa-apa makanan atau pelabelan semula, pemprosesan semula atau dinyamankan semula apa-apa makanan itu kecuali premis itu didaftarkan di bawah Peraturan-Peraturan ini.
(2) Mana-mana orang yang tidak mematuhi subperaturan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Permohonan untuk pendaftaran
4. (1) Suatu permohonan untuk pendaftaran premis makanan hendaklah dibuat kepada Pengarah dalam bentuk dan cara dan hendaklah disertai dengan apa-apa maklumat dan butir-butir, sebagaimana Pengarah boleh nyatakan.
(2) Pengarah boleh, secara lisan atau bertulis pada bila-bila masa selepas menerima permohonan itu menghendaki pemohon itu untuk memberikan dokumen, maklumat atau butir-butir tambahan yang difikirkannya perlu bagi maksud pendaftaran.
Perakuan pendaftaran
5. (1) Pengarah boleh, selepas menimbangkan permohonan di bawah subperaturan 4(1) dan setelah berpuas hati dengan maklumat dan butir-butir yang dikemukakan, mengeluarkan suatu perakuan pendaftaran bagi premis makanan sebagaimana ditetapkan dalam Jadual Kedua.
(2) Fi untuk perakuan pendaftaran yang dikeluarkan di bawah subperaturan (1) adalah tiga puluh ringgit.
Tempoh sah perakuan
6. Suatu perakuan pendaftaran bagi premis makanan hendaklah sah bagi suatu tempoh tidak melebihi tiga tahun dari tarikh ia dikeluarkan.
Permohonan untuk pembaharuan perakuan
7. (1) Suatu permohonan untuk pembaharuan suatu perakuan pendaftaran bagi premis makanan hendaklah dibuat sekurang-kurangnya tiga puluh hari sebelum tarikh tamat pendaftarannya dan permohonan itu hendaklah dibuat menurut peraturan 4.
(2) Mana-mana orang yang tidak mematuhi subperaturan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Bahagian III
PENJALANAN DAN PENYELENGGARAAN PREMIS MAKANAN
Bab 1–Kewajipan tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan Mempamerkan perakuan pendaftaran, notis, dsb., dalam premis makanan
8. (1) Tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan hendaklah—
(a) mempamerkan secara mudah dilihat suatu perakuan pendaftaran premis makanan di dalam premis makanan itu;
(b) mempamerkan secara mudah dilihat suatu notis di setiap tandas, bilik persalinan, kemudahan persalinan yang lain, atau di sink cuci tangan di premis makanan yang mengingatkan pengendali makanan untuk membasuh tangan sebersih-bersihnya sebelum memulakan kerja, sebaik selepas menggunakan tandas dan selepas mengendalikan makanan mentah atau apa-apa bahan yang mencemarkan; dan
(c) mempamerkan secara mudah dilihat suatu notis, dipintu masuk premis makanan, yang tidak membenarkan mana-mana orang daripada membawa apa-apa binatang ke dalam premis makanan itu.
(2) Mana-mana tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Program jaminan keselamatan makanan
9. (1) Tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga hendaklah menyediakan dan mengadakan suatu program jaminan keselamatan makanan di premis makanan itu.
(2) Mana-mana tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Sistem kebolehkesanan makanan
10. (1) Tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan hendaklah mengadakan suatu sistem kebolehkesanan makanan, di premis makanan yang boleh mengenal pasti satu langkah ke belakang dari mana makanan itu datang dan satu langkah ke hadapan ke mana makanan itu pergi pada mana-mana peringkat tertentu suatu rantaian makanan daripada pengeluaran ke pengedaran.
(2) Mana-mana tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Kewajipan am tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan
11. (1) Seseorang tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan hendaklah—
(a) memastikan premis makanannya mematuhi semua kehendak Bab 2 dan 3 Bahagian ini;
(b) tidak menggaji atau membenarkan mana-mana pengendali makanan bekerja di premis makanannya melainkan jika pengendali makanan itu telah menjalani latihan pengendali makanan dan telah diperiksa dari segi perubatan dan diberi vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar masing-masing sebagaimana yang dikehendaki di bawah peraturan
30 dan 31;
(c) mengekalkan dan menyediakan untuk pemeriksaan suatu rekod latihan, pemeriksaan kesihatan dan perakuan pemvaksinan bagi tiap-tiap pengendali makanan yang digaji olehnya atau yang bekerja di premis makanannya; dan
(d) mengekalkan dan bersedia untuk pemeriksaan bagi segala rekod berkaitan dengan pembersihan, pembungkusan, pemprosesan, penyimpanan dan pengedaran makanan.
(2) Mana-mana tuan punya, pemunya, penghuni premis makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Bab 2–Kehendak am bagi premis makanan
Lokasi
12. Premis makanan hendaklah terletak jauh daripada punca pencemaran termasuk kolam pengudaraan, tangki septik dan tapak pelupusan sampah.
Reka bentuk am
13. Premis makanan hendaklah direka bentuk dan dibina bagi memudahkan pembersihan dan penyahjangkitan.
Bekalan air
14. (1) Hendaklah ada pengagihan air minuman yang secukupnya dan kemudahan yang mencukupi untuk penyimpanan dan pengagihannya, jika perlu.
(2) Bekalan air itu hendaklah dilindungi secukupnya daripada apa-apa pencemaran.
Kebersihan premis makanan
15. (1) Premis makanan hendaklah kekal dalam keadaan yang baik, bersih dan kemas pada setiap masa.
(2) Premis makanan hendaklah bebas daripada apa-apa timbunan kotak, tin, botol kosong, sampah atau apa-apa barang lain yang tidak berkaitan dengan urusan premis makanan untuk mengelakkan kemasukan dan menjadi sarang perosak.
(3) Pembersihan premis makanan hendaklah dijalankan sekurang-kurangnya sekali sehari dan termasuklah membuang sisa makanan dan kotoran, jika perlu.
(4) Hendaklah disediakan kemudahan yang secukupnya bagi pembersihan, penyahjangkitan dan penyimpanan perkakasan yang digunakan di premis makanan dan kemudahan itu hendaklah dibina daripada bahan tahan hakisan
dan senang untuk dicuci dan, jika perlu, mempunyai bekalan air minuman panas dan sejuk yang secukupnya.
(5) Hendaklah disediakan dan tersedia pada setiap masa bekalan ejen pencuci, penyahjangkitan dan alatan yang secukupnya untuk membolehkan pembersihan tetap dan betul premis makanan dan semua perkakasan yang digunakan di premis makanan itu.
(6) Tiap-tiap ejen pencuci dan penyahjangkitan yang digunakan di premis makanan hendaklah dilabel secukupnya dan tidak disimpan dalam kawasan di mana makanan disimpan atau dikendalikan.
(7) Pengarah atau seseorang pegawai yang diberi kuasa olehnya boleh, bagi maksud mengekalkan kebersihan premis makanan, mengkehendaki mana-mana tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan untuk melakukan apaapa
pengubahan struktur, pembaikan, pengubahsuaian, pemasangan paip atau kerja pengaliran di mana-mana premis itu dalam tempoh masa sebagaimana yang boleh dinyatakan oleh Pengarah atau mana-mana pegawai yang diberikan kuasa olehnya.
Kawalan perosak di premis makanan
16. (1) Tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan hendaklah pada setiap masa mengekalkan premis makanan bebas daripada mana-mana perosak.
(2) Tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan hendaklah, apabila menyedari kehadiran mana-mana perosak di premis itu, dengan serta-merta mengambil semua langkah yang praktis untuk memusnahkan dan mengelakkan infestasi semula serangan perosak.
(3) Suatu rawatan kawalan perosak hanya boleh dijalankan menggunakan ejen kimia, fizik atau biologi yang sesuai dan tanpa menimbulkan ancaman kepada keselamatan makanan.
Pelupusan sampah
17. (1) Semua sisa makanan, hasil sampingan yang tidak boleh dimakan dan sampah lain hendaklah—
(a) dialihkan daripada mana-mana bilik yang terdapat makanan dengan seberapa segera yang mungkin bagi mengelakkan pengumpulannya;
(b) disimpan di dalam bekas bertutup atau bekas jenis lain yang sesuai buatannya dan disimpan dalam keadaan baik, mudah dibersihkan dan jika perlu, dinyahjangkitkan; dan
(c) disingkirkan dalam cara yang bersih dan mesra alam sekitar menurut undang-undang yang berkaitan yang terpakai baginya, dan tidak menjadi punca pencemaran secara langsung atau tidak langsung.
(2) Hendaklah ada peruntukan secukupnya bagi penyimpanan dan pelupusan sisa makanan, hasil sampingan yang tidak boleh dimakan dan sampah lain.
(3) Semua tempat simpanan sisa makanan, hasil sampingan yang tidak boleh dimakan dan sampah lain hendaklah direka bentuk dan diuruskan dalam cara yang sedemikian yang membolehkannya dikekalkan bersih, jika perlu, bebas daripada haiwan dan perosak.
Bab 3–Kehendak khas bagi premis makanan
Permukaan lantai
18. Semua lantai di premis makanan hendaklah—
(a) dikekalkan dalam keadaan baik, mudah dibersihkan, dan jika perlu, dinyahjangkitkan;
(b) daripada bahan tidak telap air, bukan penyerap, boleh dibasuh dan bukan toksik melainkan jika tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan dapat memuaskan hati Pengarah atau seseorang pegawai yang diberi kuasa olehnya bahawa bahan lain yang digunakan adalah sesuai; dan
(c) menyalirkan secukupnya.
Permukaan dinding
19. (1) Semua dinding di premis makanan hendaklah—
(a) dikekalkan dalam keadaan baik, mudah dibersihkan, dan jika perlu, dinyahjangkitkan; dan
(b) daripada bahan tidak telap air, bukan penyerap, boleh dibasuh dan bukan toksik dan mengkehendaki permukaan yang rata sehingga ketinggian yang sesuai untuk proses makanan melainkan tuan punya, pemunya atau penghuni premis makanan dapat memuaskan hati Pengarah atau seseorang pegawai yang diberikan kuasa olehnya bahawa bahan lain yang digunakan adalah sesuai.
(2) Semua sudut di antara dinding dengan lantai premis makanan hendaklah lengkung cengkung bagi memudahkan pembersihan, jika perlu.
Pencahayaan
20. Tiap-tiap premis makanan hendaklah dibekalkan dengan pencahayaan semula jadi atau tiruan yang tidak membawa kepada, atau menyebabkan pencemaran makanan.
Pengalihudaraan
21. (1) Sistem pengalihudaraan dalam premis makanan hendaklah—
(a) sesuai dan mencukupi yang tidak membawa kepada, atau menyebabkan pencemaran makanan; dan
(b) dibina bagi membolehkan penapis dan bahagian lain yang memerlukan pembersihan atau penggantian dapat diakses dengan mudah.
(2) Aliran udara mekanikal sistem pengalihudaraan hendaklah tidak mengalir dari suatu kawasan tercemar ke suatu kawasan bersih.
Siling
22. Semua siling atau jika tiada siling, permukaan dalam bumbung dan lekapan atas premis makanan hendaklah dibina dan dalam bentuk kemasan yang boleh menghalang pengumpulan kotoran dan serakan habuk dan mengurangkan pemeluwapan dan pertumbuhan kulapuk yang tidak diingini.
Pintu
23. Semua pintu di premis makanan hendaklah—
(a) mudah dicuci dan jika perlu, dinyahjangkitkan; dan
(b) mempunyai permukaan yang rata, bukan penyerap dan boleh tutup sendiri.
Perabot, lengkapan dan permukaan yang menyentuh makanan
24. (1) Semua perabot, lengkapan dan permukaan yang menyentuh makanan yang digunakan atau hendak digunakan bagi penyediaan, penghidangan, penyimpanan, penghantaran atau pengedaran makanan di mana-mana premis makanan hendaklah diselenggara dengan baik dan kekal bersih pada setiap masa.
(2) Semua perabot, lengkapan dan permukaan yang menyentuh makanan yang digunakan atau hendak digunakan di mana-mana kawasan memproses makanan di premis makanan hendaklah daripada bahan yang tidak telap air dan mudah dicuci.
Penyimpanan makanan
25. (1) Hendaklah ada bilik penyimpanan yang sesuai pada saiz yang mencukupi bagi penyimpanan makanan di semua premis makanan.
(2) Hendaklah ada bilik penyimpanan yang berlainan untuk penyimpanan bahan makanan mentah dan ramuan, dan untuk penyimpanan bahan makanan yang telah diproses di semua premis makanan.
(3) Semua lengkapan atau kelengkapan yang digunakan atau hendak digunakan bagi penyimpanan makanan di semua premis makanan hendaklah—
(a) dibuat daripada bahan yang sesuai;
(b) direka bentuk dan dibina bagi membolehkan pembersihan dan penyahjangkitan yang secukupnya; dan
(c) mempunyai ruang yang mencukupi bagi membolehkan penyimpanan makanan dengan betul.
(4) Jika apa-apa makanan perlu disimpan dalam keadaan sejuk atau beku, kemudahan penyimpanan untuk makanan itu hendaklah mematuhi kehendak yang berikut:
(a) penyimpanan sejuk yang berasingan bagi bahan makanan mentah dan makanan yang diproses disediakan secukupnya;
(b) kemudahan itu dicairbekukan apabila perlu bagi mengekalkan kecekapan penyejukan;
(c) lapisan dalam kemudahan itu dibuat daripada bahan yang rata dan logam bukan toksik atau daripada bahan tidak telap air yang lain dan daripada warna yang cerah dan mudah dicuci;
(d) apa-apa peranti yang digunakan untuk merekod suhu dalam kemudahan itu adalah tepat sehingga lebih atau kurang 1°C; dan
(e) lubang udara bagi kemudahan itu ditempatkan jauh daripada cahaya berlebihan, udara panas, ketuhar atau saluran keluar pendingin hawa.
(5) Jika kemudahan yang dinyatakan dalam subperaturan (4) adalah sebuah bilik sejuk, pintu bagi kemudahan itu hendaklah dipasang dengan tirai udara atau cara lain yang berkesan bagi mengelakkan kehilangan udara sejuk atau apa-apa kenaikan suhu dengan tiba-tiba.
Bilik persalinan
26. Hendaklah ada disediakan bilik persalinan, jika perlu, kegunaan pengendali makanan di premis makanan.
Sink cuci tangan
27. (1) Hendaklah disediakan sink cuci tangan yang mencukupi diletakkan dan ditetapkan sesuai untuk mencuci tangan.
(2) Sink cuci tangan itu hendaklah, pada setiap masa—
(a) dibekalkan dengan air mengalir yang mencukupi;
(b) dibekalkan dengan sabun atau bahan cuci cecair yang sesuai di dalam dispenser;
(c) disediakan dengan tuala kertas atau pengering tangan automatik;
(d) dikekalkan bersih dan diselenggarakan dalam keadaan baik; dan
(e) dilengkapi dengan paip dioperasi tanpa tangan bagi kegunaan pengendali makanan.
(3) Hendaklah ada kemudahan sink cuci tangan yang berasingan bagi mencuci tangan dan membasuh makanan di premis makanan.
Bilik tandas
28. (1) Hendaklah disediakan bilangan bilik tandas yang mencukupi di premis makanan—
(2) Bilik tandas itu hendaklah—
(a) disediakan dengan air yang mengalir, kertas tandas, sabun atau cecair pencuci yang sesuai di dalam dispenser, kemudahan mengering tangan atau tuala gulung atau tuala kertas yang bersih pada setiap masa; dan
(b) kekal bersih dan bebas daripada bau busuk pada setiap masa; dan
(c) tidak terbuka secara terus menerus kepada mana-mana bilik atau bahagian digunakan untuk penyimpanan, pengeluaran dan penghidangan makanan.
Kemudahan penyaliran
29. (1) Kemudahan penyaliran di premis makanan hendaklah mencukupi, direka bentuk dan dibina bagi mengelakkan risiko pencemaran kepada makanan.
(2) Kemudahan penyaliran di dapur atau kawasan penyediaan makanan hendaklah diperbuat daripada bahan yang rata yang dipasang dengan perangkap makanan dan disambung ke saluran keluar utama dari premis makanan.
(3) Saluran penyaliran di premis makanan hendaklah terbuka sepenuhnya atau separuh terbuka dan direka bentuk secara bersesuaian bagi memastikan sisa tidak mengalir daripada suatu kawasan tercemar ke arah atau ke dalam suatu kawasan bersih.
Bahagian IV
PENGENDALI MAKANAN
Bab 1–Latihan, pemeriksaan perubatan dan keadaan kesihatan, pakaian dan kebersihan diri pengendali makanan
Latihan pengendali makanan
30. (1) Pengendali makanan hendaklah menjalani latihan pengendali makana di, dan mendapat Sijil Latihan Pengendali Makanan daripada institusi yang ditentukan oleh Pengarah.
(2) Menteri boleh, jika difikirkannya perlu, mengkehendaki mana-mana pengendali makanan untuk menghadiri mana mana latihan pengendali makanan tambahan di mana-mana institusi yang ditentukan oleh Pengarah.
(3) Mana-mana pengendali makanan yang bekerja di mana-mana premis makanan yang tidak menjalani latihan atau memiliki sijil yang disebut dalam subperaturan (1) atau yang tidak menghadiri mana-mana latihan yang disebut dalam subperaturan (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Pemeriksaan perubatan dan keadaan kesihatan pengendali makanan
31. (1) Semua pengendali makanan hendaklah diperiksa dari segi kesihatan dan diberi vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar.
(2) Mana-mana pengendali makanan yang menghidap, atau merupakan pembawa penyakit bawaan makanan atau yang disyaki menghidap, atau merupakan pembawa penyakit bawaan makanan hendaklah—
(a) tidak dibenarkan untuk memasuki premis makanan atau mengendalikan makanan;
(b) melaporkan dengan segera kepada pihak pengurusan premis makanan berkenaan dengan keadaan kesihatannya; dan
(c) digantung daripada bekerja di premis makanan sehingga dia disahkan sembuh daripada penyakit dan sihat dari segi perubatan untuk bekerja oleh pengamal perubatan berdaftar sebelum dia dibenarkan untuk memasuki premis makanan itu atau mengendalikan makanan.
(3) Mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Pakaian pengendali makanan
32. (1) Pengendali makanan hendaklah memakai—
(a) pakaian yang bersih, sesuai dan wajar yang hendaklah tidak menyumbangkan kepada apa-apa pencemaran makanan; dan
(b) baju luar yang bersih, sesuai dan berwarna cerah atau apron berwarna cerah, penutup kepala dan kasut, atau apa-apa pakaian yang sesuai pada pendapat Pengarah atau seseorang pegawai yang diberi kuasa olehnya.
(2) Pakaian yang dinyatakan dalam perenggan (1)(b) tidak boleh dipakai selain di dalam premis makanan dan hendaklah sentiasa disimpan di dalam almari atau loker yang sesuai apabila tidak digunakan.
(3) Mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) atau (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit.
Kebersihan diri pengendali makanan
33. (1) Pengendali makanan semasa mengendali, menyediakan, membungkus, membawa, menyimpan, mempamer dan menghidang makanan hendaklah—
(a) mengekalkan kebersihan diri pada tahap yang tinggi termasuklah menyimpan kuku yang pendek dan bersih;
(b) menanggalkan baju luar atau penutup kepala atau apron sebelum ke tandas;
(c) membasuh tangan sebelum memulakan kerja, sebaik selepas menggunakan tandas dan selepas mengendalikan bahan makanan mentah atau apaapa bahan yang tercemar;
(d) tidak melakukan apa-apa kelakuan atau tindakan yang boleh menyebabkan pencemaran makanan;
(e) tidak meletak apa-apa barang di dalam poket mana-mana pakaian atau apron yang boleh menyumbangkan kepada apa-apa pencemaran makanan; dan
(f) tidak memakai perhiasan diri, jam, pin atau aksesori yang lain.
(2) Mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Kewajipan untuk mengekalkan premis makanan bersih
34. (1) Pengendali makanan hendaklah memastikan bahawa premis makanan di mana makanan dikendalikan dikekalkan bersih dan bebas daripada sampah, perosak, kotoran atau jelaga, penyapuan, abu, sisa dan sarang labah-labah pada setiap masa.
(2) Mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Bab 2–Perlindungan makanan
Pengendalian makanan, perkakas, dsb.
35. (1) Pengendali makanan hendaklah mengendalikan makanan dan menggunakan perkakas makanan dan bekas makanan mengikut kehendak yang berikut:
(a) makanan tidak boleh diletakkan secara langsung bersentuhan dengan apa-apa benda atau bahan yang boleh mencemarkan makanan itu;
(b) semua perkakas dan bekas yang digunakan di premis makanan hendaklah dikekalkan dalam keadaan baik, mudah dibersihkan, dan, jika perlu, dinyahjangkitkan pada setiap masa;
(c) semua perkakas dan bekas tidak menghasilkan atau mengeluarkan apa-apa bahan tercemar busuk, asing, beracun atau memudaratkan kepada kandungannya;
(d) semua perkakas atau bekas dipasang dalam cara sedemikian bagi membenarkan pembersihan perkakas atau bekas itu dan kawasan di sekeliling;
(e) semua bahagian perkakas atau bekas yang bersentuhan secara langsung dengan apa-apa makanan lembab atau makanan berisiko tinggi untuk penjualan adalah rata, permukaan tidak telap air dan tidak rosak;
(f) semua perkakas dan bekas yang telah digunakan untuk makanan mentah mendapan dibersihkan dan dalam keadaan sanitasi sebelum perkakas dan bekas itu digunakan untuk makanan yang telah dimasak;
(g) papan pemotong yang berlainan hendaklah digunakan bagi makanan mentah dan yang telah dimasak;
(h) papan pemotong yang digunakan dalam penyediaan makanan tidak rosak dan boleh dialihkan secara terus dan mudah bagi pembersihan;
(i) penyahjangkitan, bahan cuci, sebatian pencuci dan pelelas untuk pembersihan hendaklah betul-betul dibilas daripada permukaan yang menyentuh makanan;\
(j) ais yang digunakan yang secara langsung menyentuh makanan atau permukaan yang menyentuh makanan hendaklah dibuat daripada air minuman dan hendaklah dikilangkan, dikendalikan, disimpan dan diangkut dalam cara sedemikian bagi melindunginya daripada apaapa pencemaran;
(k) stim yang digunakan yang secara langsung menyentuh makanan atau permukaan yang menyentuh makanan hendaklah tidak mengandungi bahan yang membahayakan kesihatan atau yang boleh mencemarkan makanan itu; dan
(l) penyapuan lantai, pembersihan dinding atau pengelapan siling hendaklah tidak dilakukan semasa makanan dikendalikan.
(2) Pengendali makanan hendaklah menyebabkan semua perkakas yang rosak dibuang dan dikeluarkan daripada premis makanan.
(3) Pengendali makanan hendaklah tidak menyimpan, membawa, menyebarkan atau menggunakan apa-apa bahan bertoksik yang boleh mendedahkan makanan untuk dijual kepada risiko pencemaran.
(4) Pengendali makanan hendaklah memastikan bahan tambahan kimia yang digunakan untuk mencegah kakisan pada kelengkapan dan bekas, digunakan menurut amalan yang baik.
(5) Pengendali makanan hendaklah tidak membekukan semula apa-apa makanan yang hendak dijual secara runcit dalam keadaan sejuk beku selepas makanan itu dinyahbeku.
(6) Mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1), (2), (3), (4) atau (5) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi dua tahun. Penyediaan, pembungkusan dan penghidangan makanan
36. (1) Pengendali makanan yang menyediakan, membungkus atau menghidang makanan untuk dijual hendaklah—
(a) memastikan penyediaan, pembungkusan atau penghidangan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran;
(b) memastikan pembungkus makanan menyediakan perlindungan yang secukupnya untuk hasil makanan bagi meminimumkan pencemaran dan mengelakkan kerosakan kepada hasil makanan itu;
(c) memastikan bahan pembungkus makanan bukan toksik dan cukup kuat untuk menahan koyak dan bocor;
(d) memastikan bahan pembungkus makanan tidak menjejaskan keselamatan dan kesesuaian makanan di bawah keadaan penyimpanan dan penggunaan yang ditetapkan;
(e) tidak menggunakan tangan yang tidak berlapik untuk mengendalikan mana-mana makanan yang tidak berbungkus;
(f) mengambil semua langkah yang munasabah untuk menghalang pelanggan daripada menggunakan tangan yang tidak berlapik untuk mengendalikan apa-apa makanan yang tidak berbungkus;
(g) tidak menggunakan nafasnya untuk membuka apa-apa beg atau pembalut yang dimaksudkan untuk digunakan dalam penyediaan, pembungkusan dan penghidangan itu;
(h) mengelap tangannya dengan tuala yang bersih atau apa-apa bahan lain yang bersih dan sesuai;
(i) mengelakkan daripada meletakkan, membawa atau menyimpan apaapa makanan yang tidak dibungkus dalam cara sedemikian yang menyebabkan pinggan, mangkuk atau bekas bersentuhan dengan makanan di dalam pinggan, mangkuk atau bekas yang lain;
(j) tidak menggunakan apa-apa bahan mentah atau ramuan yang mungkin tercemar dengan parasit, mikroorganisma patogen, toksik atau bahan terurai atau bendasing yang boleh menyebabkan hasil akhir tidak sesuai untuk dimakan oleh manusia;
(k) tidak menyimpan apa-apa bahan mentah, ramuan, hasil makanan pertengahan atau hasil makanan siap pada suhu yang mungkin boleh membantu pembiakan semula mikroorganisma patogen atau pembentukan toksin;
(l) tidak menggangu rantaian sejuk makanan, tetapi kawalan suhu di luar bagi tempoh terhad yang tidak menimbulkan risiko kepada kesihatan adalah dibenarkan;
(m) memastikan pemanas makanan mengekalkan suhu makanan itu pada suhu melebihi 60ºC, jika makanan yang hendak dihidangkan panas;
(n) memastikan mana-mana makanan yang hendak dihidangkan dingin disejukkan—
(i) dengan seberapa segera yang mungkin jika proses pemanasan digunakan; atau
(ii) pada suhu yang tidak menyebabkan risiko kepada kesihatan, jika tiada proses pemanasan dikenakan pada peringkat akhir penyediaan; dan
(o) berhubung dengan proses penyahsejuk beku makanan,—
(i) meminimumkan risiko pertumbuhan mikroorganisma patogen atau pembentukan toksin dalam makanan itu;
(ii) mendedahkan makanan kepada apa-apa suhu yang tidak akan menyebabkan risiko kepada kesihatan; dan
(iii) menyalirkan secukupnya cecair hasil daripada proses penyahsejuk beku.
(2) Pengendali makanan yang menyediakan, membungkus atau menghidang makanan yang berasal daripada babi (sus scrofa) hendaklah pada masa yang sama tidak menyediakan, membungkus atau menghidang makanan yang bukan berasal daripada babi.
(3) Pengendali makanan hendaklah menggunakan perkakas yang berlainan untuk penyediaan, pembungkusan atau penghidangan makanan yang berasal daripada babi (sus scrofa) dan makanan yang bukan berasal daripada babi.
(4) Mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1), (2) atau (3) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Penyimpanan, pendedahan atau pameran makanan untuk dijual
37. (1) Pengendali makanan hendaklah tidak menyimpan, mendedahkan atau mempamerkan untuk dijual mana-mana makanan sedia untuk makan oleh manusia dalam mana-mana premis makanan melainkan jika makanan itu terlindung secukupnya daripada—
(a) pencemaran oleh mana-mana orang yang bersentuhan dengan makanan itu; atau
(b) lain-lain punca pencemaran, dengan cara yang berkesan dan menggunakan kabinet, almari pameran, bekas, penutup atau peralatan perlindungan, sistem atau peranti lain yang mudah dibersihkan.
(2) Mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.
Penyimpanan makanan
38. (1) Pengendali makanan hendaklah menyimpan makanan menurut kehendak yang berikut:
(a) makanan disimpan di dalam bilik yang sesuai, cukup besar untuk penyimpanan yang berasingan bahan mentah daripada bahan yang telah diproses dan penyimpanan sejuk berasingan yang mencukupi;
(b) makanan tidak disimpan dalam kemudahan penyimpanan yang sama dengan agen pembersih dan penyahjangkit;