Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Itulah yang cuba kita terapkan kepada anak-anak pada Hari cuci tangan sedunia 2014 dimana pendedahan dan kepentingan menjaga kebersihan terutama tangan diberi sejak mereka dibangku sekolah lagi. Sebegitu pentingnya mencuci tangan ini sehingga satu dunia bersepakat untuk mengadakan hari khusus bagi membudayakan amalan mencuci tangan ini.
Di dalam duina kanak-kanak, watak wira atau ‘super heroes’ yang menonjol sangat memberi kesan kepada pemikiran mereka samada negatif atau positif. kanak-akanak lebih cenderung untuk mengikuti arahan atau cara yang digunakan oleh karakter idola mereka kerana mereka sangat mengagumi karakter tersebut.
Oleh itu, bagi menjayakan objektif tersebut di Malaysia, sambutan Hari Mencuci Tangan Sedunia pada 15 Okt, Kementerian Kesihatan dan pengeluar barangan pengguna Unilever Malaysia mengundang BoBoiBoy, watak utama dalam siri animasi televisyen popular, serta rakan-rakannya Yaya, Ying dan Gopal ke Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai, Bangsar, di sini.
Ia adalah bukan sahaja untuk berkongsi keseronokan dengan telatah mereka yang mencuit hati, akan tetapi juga untuk menunjukkan kepada mereka betapa pentingnya mengamalkan kebersihan diri dengan amalan mencuci tangan.
Lagu popular dari negara Korea iaitu ‘Gwiyomi’ yang menjadi siulan anak-anak digubah dalam bahasa melayu digunakan bagi menceria dan menghidupkan acara.
Lagu yang dipopularkan seorang penyanyi wanita dari Korea Selatan, Jeong Sung-kyung itu diubah suai menjadi lagu latar acara dengan liriknya mudah diingati kanak-kanak dengan antara bait seperti “cuci tangan kita sebelum makan”.
Namun begitu disebalik pendedahan dan kempen yang dijalankan, masih terdapat ramai yang mengambil ringan aspek kebersihan diri apatah lagi mencuci tangan dengan betul.
MEMBUDAYAKAN AMALAN MENCUCI TANGAN
Adalah menjadi objektif Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendidik dan memupuk tabiat membasuh tangan dengan betul di kalangan masyarakat sejak dari peringkat kanak-kanak.
Abdul Jabar Ahmad yang merupakan Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan menyifatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mencuci tangan secara betul semakin meningkat sejajar dengan pendedahan yang meluas dalam kempen dan iklan di media.
“Mencuci tangan adalah cara paling terbaik untuk mencegah penyakit seperti penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dengan mencuci tangan melalui cara yang betul kuman atau virus tidak akan merebak.
“Oleh sebab itu kita sentiasa mengalakkan orang ramai supaya (mencuci tangan dengan betul) sebagai satu budaya atau amalan harian pada setiap masa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Mencuci Tangan Sedunia anjuran Lifebuoy baru-baru ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 15 Okt sebagai hari Mencuci Tangan Sedunia pada 2008 sempena dengan tahun Saintasi Antarabangsa 2008.
Hari Mencuci Tangan menjadi satu kempen sedunia untuk mengukuhkan amalan kebersihan diri dengan matlamat utamanya untuk meningkatkan kesedaran kepentingan kebersihan diri.
Mengulas lanjut, beliau berkata kesedaran itu perlu diterjemahkan kepada tindakan kerana tidak menjadi alasan bagi seseorang individu itu untuk tidak membasuh tangan dengan cara yang betul.
Abdul Jabar berkata ibu bapa perlu mendidik anak-anak mereka untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga kebersihan diri sebagai budaya yang perlu dicontohi oleh semua pihak.
“Walaupun kita mengadakan pelbagai program kesihatan di sekolah namun kerjasama daripada pelbagai pihak amat penting kerana sekiranya ada yang tidak menyokong atau gagal melaksanakannya ia memberi kesan negatif kepada individu lain,” katanya.
DIDIKAN KEPADA KANAK-KANAK
Pengarah Penjagaan Diri Unilever Malaysia Ashlee Ng berkata kempen ini merupakan tanggungjawab sosial untuk memberi sokongan kepada negara dalam mencapai kehidupan dan persekitaran hidup lebih sihat serta mengamalkan tabiat kebersihan diri dengan betul.
“Kita meraikan Hari Mencuci Tangan bersama lebih 200 juta orang dari lebih 100 buah negara dan ini berupaya menjana masyarakat agar lebih sihat dan berupaya menyelamatkan nyawa melalui kaedah mudah iaitu dengan mengamalkan tabiat mencuci tangan menggunakan cecair pencuci tangan,” katanya.
Bagi mendidik kanak-kanak mencuci tangan dengan betul, Ashlee berkata kad catatan akan diagihkan kepada para pelajar untuk merekodkan tabiat membasuh tangan yang akan dimulakan dengan rejim 21/5 yang bermaksud lima waktu berlainan setiap hari selama 21 hari.
“Insiatif ini juga akan dibuka kepada orang ramai melalui pusat pembelajaran kami bersama Kidzania yang memberi peluang kepada untuk mengalami pengalaman bersama Lifebuoy secara menyeluruh dan menerapkan budaya sihat dalam kehidupan mereka,” katanya.
Dengan pendedahan kepada kanak-kanak disekolah, ia juga secara tidak langsung mendidik dan membuka minda ibu bapa yang hadir tentang pentingnya penjagaan kesihatan yang bermula dengan langkah yang cukup mudah iaitu hanya mencuci tangan dengan betul. Diharapkan dengan kempen yang berterusan setiap tahun juga akan melahirkan generasi baru yang akan membudayakan amalan mencuci tangan ini.