Keperluan Umum Pensijilan Halal Malaysia Oleh JAKIM

By | July 4, 2014

Keperluan Umum Yang Perlu Di patuhi Bagi Pemohon Pensijilan Halal Malaysia Oleh JAKIM

Keperluan Umum Pensijilan Halal JAKIM

  • keperluan umum pensijilan halal malaysia Semua Pengeluar produk, Premis Makanan, Rumah sembelihan yang memohon pensijilan Halal JAKIM hendaklah mengeluarkan produk halal sahaja.
  • Semua syarikat pemohon pensijilan halalharus memastikan sumber ramuan yang digunakan adalah halal. Ini bermakna bahan ramuan tersebut harus mempunyai pengesahan halal sama ada dari JAKIM. Sekiranya ia dari luar negara, pengesahan halal mesti daripada badan-badan yang diiktiraf JAKIM.
  • Semua syarikat pemohon pensijilan halal hendaklah mematuhi segala aspek yang digariskan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal MAlaysia.
  • Syarikat di bawah kategori Multinasional dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wajib mewujudkan Jawatankuasa Audit Halal Dalaman dan hendaklah melantik seorang Eksekutif Hal Ehwal Islam (Pengajian Islam) yang bertanggungjawab ke atas segala hal berkaitan halal dan kepatuhan syariah dan memastikan syarikat mematuhi garis panduan pensijilan halal JAKIM.
  • Syarikat wajib mempunyai sekurang-kurangnya seorang (1) pekerja Muslim dan mestilah warganegara Malaysia yang bekerja secara tetap di mana-mana bahagian berikut:
    • Bahagian Dapur
    • Pengendalian makanan
    • Pemprosesan Makanan
  • Pemohon hendaklah mengekalkan keadaan yang bersih dan tidak mengandungi bahan ramuan yang bertentangan dengan hukum syarak semasa penyediaan, pengendalian, pemprosesan, pembungkusan atau pemindahan produk.
  • Pemohon hendaklah memastikan peralatan dan kemudahan yang digunakan dalam premis bersih dan bebas dari najis mengikut hukum syarak atau yang memudaratkan kesihatan pengguna.
  • Pihak syarikat hendaklah memastikan pengangkutan yang digunakan adalah terhad kepada produk halal sahaja dan tidak dicampuri dengan produk yang tidak halal.
  • Pemohon pensijilan Halal hendaklah menjaga kebersihan peralatan, pengangkutan, kawasan pengeluaran dan persekitaran berpandukan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP)
  • Sebarang objek penyembahan seperti berhala dan colok tidak dibenarkan sama sekali di dalam premis dan kawasan pemprosesan makanan.

Syarikat hendaklah memastikan semua pekerja mengamalkan kod etika pekerja dan amalan kesihatan yang baik (Good Hygiene Practice) Seperti berikut:

  • Semua pekerja hendaklah mengambil suntikan yang diperlukan dalam pengendalian makanan seperti suntikan typhoid di mana-mana pusat kesihatan yang ditauliahkan oleh kerajaan sebelum dan selepas diambil bekerja.
  • Semua pekerja hendaklah mengamalkan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri yang baik terutama sekali bagi yang bekerja di bahagian pengeluaran.
  • Pekerja yang dalam keadaan kesihatan yang tidak memuaskan atau mengalami kecederaan atau mempunyai luka yang boleh menjejaskan kebersihan makanan tidak dibenarkan bekerja sehingga disahkan sehat oleh doktor yang bertauliah.
  • Penyelia hendaklah memastikan bahawa tiada sentuhan secara langsung antara tangan pekerja dengan bahan mentah dan keluaran separa siap.
  • Adalah dilarang sama sekali merokok, makan, minum atau menyimpan makanan, minuman, rokok, ubat dan lain-lain di ruangan pengeluaran atau di mana-mana ruangan yang boleh menjejaskan kualiti makanan. Perlakuan tersebut hanya boleh dilakukan di tempat khas yang ditetapkan oleh syarikat.
  • Semua individu yang memasuki ke ruangan pengeluaran produk mestilah memakai pakaian khas kilang atau pakaian sopan dan bersih ( jika tiada pakaian khas) mengikut prosedur penjagaan kesihatan dan kebersihan diri termasuk pekerja tetap, pekerja sementara, kakitagnan pengurusan, pelawat dan lain-lain individu.
  • Pekerja hendaklah menjaga kebersihan diri dan mengamalkan etika pemakaian yang sesuai seperti penutup kepala, sarung tangan, penutup mulut, dan kasut yang sesuai.
  • Pekerja hendaklah membasuh tangan dengan cara yang betul dalam keadaan berikut:
    • Sebelum memulakan aktiviti pengendalian makanan
    • Selepas menggunakan tandas
    • Selepas mengendalikan bahan mentah atau bahan yang tercemar dan sebagainya.
  • Pekerja tidak dibenarkan memakai apa-apa jenis barang kemas atau barang perhiasan seperti jam dan sebagainya di ruangan pemprosesan makanan yang mungkin menyebabkan pencemaran dalam pengendalian makanan tersebut.
  • Pekerja hendaklah sentiasa bertugas dan berfungsi di tempat yang diarahkan seperti “check point” kualiti halal dan pembelian bahan mentah yang halal
  • Pekerja hendaklah komited dan bertanggungjawab ke atas polisi dan garis panduan halal yang telah ditetapkan.

Dengarkan Versi Audio: