Ketahui 5 Cara Menjamin Makanan Selamat Untuk Di Makan

By | July 2, 2014

5 Cara Menjamin Makanan Selamat

Terdapat banyak cara untuk menjaga keselamatan atau kebersihan makanan, namun begitu seandainya 5 cara ini diamalkan ia adalah memadai untuk menjamin keselamatan makanan tersebut. Apakah 5 cara itu?

1) Jaga Kebersihan

  • Adalah dianjurkan untuk membasuh tangan sebelum dan selepas mengendalikan makanan dengan 7 langkah basuh tangan yang betul
  • Basuh tangan selepas keluar dari tandas.
  • Cuci dengan bersih peralatan yang digunakan untuk menyediakan makanan.
  • Lindungi kawasan dapur dan makanan dari dicemari oleh makhluk perosak seperti tikus dan serangga lain seperti lipas, semut dan lain-lain makhluk perosak.

Mengapa langkah ini perlu?

Kebanyakan mikroorganisma tidak menyebabkan penyakit tetapi organisma yang merbahaya terdapat banyak dalam tanah, air, haiwan dan manusia. Organisma-organisma ini boleh dibawa melalui tangan, kain pengelap dan peralatan dapur terutama sekali atas pemotong. Oleh kerana itu penggunaan alas pemotong kayu sangat tidak digalakkan kerana sifat kayu yang menyerap air akan menyimpan mikroorganisma walaupun ia sudah dibasuh. Sentuhan kepada makanan, walaupun sedikit boleh memindahkan organisma tersebut dan seterusnya menyebabkan penyakit bawaan makanan atau keracunan makanan.

2) Asingkan Makanan Mentah Dan Makanan yang Telah Di Masak

  • Asingkan makanan mentah seperti ayam, daging dan makanan laut daripada makanan yang telah dimasak.
  • Gunakan perkakas dapur yang berasingan seperti pisau dan papan pemotong untuk menyediakan bahan mentah.
  • Simpan makanan dalam bekas untuk mengelakkan makanan mentah bersentuhan dengan makanan yang telah dimasak.

Mengapa langkah ini perlu?

Makanan mentah seperti daging, ayam dan makanan laut mengandungi bakteria merbahaya yang boleh mencemarkan makanan lain semasa penyediaan dan penyimpanan makanan. Oleh itu, adalah perlu untuk mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan keracunan makanan.

3) Masak Dengan Sempurna

  • Pastikan makanan di masak dengan sempurna sepenuhnya, terutama daging, ayam, telur dan makanan laut.
  • Suhu didih bagi masakan bersup dan rebus hendaklah mencapai 70 darjah Celcius. Bagi daging dan ayam, pastikan air rebusnya kelihatan jernih dan bukan berwarna merah jambu. Gunakan jangkasuhu untuk menyukat suhu.
  • Panaskan semula makanan yang telah masak sepenuhnya sebelum menikmatinya semula.

Mengapa langkah ini perlu?

Kebanyakan mikroorganisma merbahaya boleh dibunuh dengan cara memasak makanan dengan sempurna. Kajian menunjukkan bahawa memasak makanan di bawah suhu 70 darjah celcius dan keatas boleh menjamin makanan tersebut selamat untuk dimakan.

4) Simpan Makanan Pada Suhu Yang Selamat

  • Jangan letak makanan yang telah dimasak lebih dua (2) jam pada suhu bilik.
  • Simpan makanan yang telah dimasak dan cepat rosak di dalam peti sejuk (simpan pada suhu di bawah 5 darjah celcius).
  • Pastikan makanan yang telah dimasak sentiasa panas (lebih daripada 60 darjah celcius) sebelum dihidangkan.
  • Jangan simpan makanan yang telah dimasak atau lebihan makanan terlalu lama dalam peti sejuk melebihi lima (5) hari.
  • Jangan biarkan makanan sejukbeku dicairkan pada suhu bilik

Mengapa langkah ini perlu?

Mikroorganisma boleh membiak dengan cepat jika makanan disimpan di bawah suhu bilik. dengan menetapkan suhu dibawah kurang dari 5 darjah celcius ataupun lebih dari 60 darjah celcius, pembiakan akan menjadi perlahan ataupun berhenti terus. Waaubagaimanapun sesetengan mikroorganisma merbahaya masih membiak di bawah suhu 5 Darjah Celcius.

5) Gunakan Air Dan Bahan Mentah Yang Bersih Dan Selamat

  • Gunakan air yang bersih atau yang telah dirawat agar ianya selamat untuk digunakan
  • Pilih bahan makanan mentah yang segar dan selamat dimakan
  • Untuk keselamatan, pilih makanan yang telah diproses, contohnya susu pasteur.
  • Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran terlebih dahulu, terutamanya jika dimakan mentah.
  • Elakkan makanan yang telah tamat tarikh luputnya.

Mengapa langkah ini perlu?

Bahan mentah termasuk air dan ais boleh tercemar oleh bakteria dan bahan-bahan kimia berbahaya. Bahan toksik boleh terhasil pada makanan yang berkulat dan rosak. Pilih bahan mentah dengan berhati-hati. Amalkan langkah-langkah mudah seperti membasuh dan mengupas kulit buah-buahan jika hendak dimakan terus bagi mengurangkan pencemaran makanan.

Dengarkan Versi Audio:

 

5 cara menjamin makanan selamat

Sumber: Bahagian keselamatan dan kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia