Rasionalisasi Tukang Masak Tempatan Sahaja Dibenarkan 1 Jan 2019

Sumber:Mstar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Sumber:Mstar

Sumber Foto:Mstar

21 Jun 2018 : Menteri Sumber Manusia mengarahkan semua pengusaha restoran di negara ini hanya mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja bermula 1 Julai.

Menterinya, M. Kulasegaran  berkata, semua pengusaha akan diberi masa sehingga hujung tahun ini untuk mematuhi syarat tersebut. Tempoh 6 bulan yang diberikan untuk mendapatkan tukang masak tempatan dianggap wajar dan mencukui.

Beliau berkata peraturan baharu itu hanya membenarkan penduduk tempatan sebagai tukang masak di semua restoran berkuat kuasa 1 Jan, 2019.

“Jadi kita mahu penduduk tempatan bekerja sebagai tukang masak.”

“Tidak akan ada kompromi … kami memberi anda notis untuk melakukannya sebelum 31 Disember.

“Jika anda tidak melakukannya kami tidak boleh bantu “katanya pada Khamis di Petaling Jaya.

Terdahulu, Kulasegaran mengadakan mesyuarat dengan Persatuan Pengusaha Restoran (Prisma).

Beliau berkata, kementerian akan mengadakan lebih banyak mesyuarat bersama Prisma dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dalam masa terdekat untuk menjayakan program ini dengan kesenangan semua pihak.

Isu Kebersihan

Kebanyakan pengendali makanan warga asing yang datang bekerja di Malaysia ini adalah dari negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh, Nepal, Myanmar dan India. Negara-negara ini umumnya mengetahui piawaian kebersihan dan kualiti makanan jauh lebih rendah daripada Malaysia.

Tambahan lagi pekerja-pekerja ini yang dibawa masuk oleh ejen bukan tergolong dari yang berpendidikan dan golongan yang tinggal di bandar, mereka adalah dari kampung-kampung terpencil di mana adalah normal untuk siang ikan di tepi longkang sahaja.

Mereka juga tidak dilindungi oleh Vaksin Typhoid yang melindungi dari penyakit berjangkit Taun.

Mereka juga Tiada keperluan untuk menghadiri Kursus Pengendali Makanan seperti yang di laksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Di Malaysia sahaja yang kita bersyukur ada Akta Kebersihan Makanan, tetapi masih banyak sekali Restoran-restoran yang kotor dan tidak langsung mengikut garis panduan kebersihan makanan yang ditetapkan.

Baru-baru ini viral tentang Restoran Raj’s Banana Leaf yang mana pekerjanya membasuh pinggan dibelakang kedai dengan menggunakan lopak air!

Pekerja dari Mana?

Ini kerana di tempat mereka amalan sebegini adalah suatu yang normal.

Menurut Kulasegaran, peraturan itu akan mengurangkan kebergantungan restoran tempatan kepada tenaga kerja asing dan bagi memastikan kualiti makanan terjamin.

Pengusaha makanan di Malaysia ini terlalu bergantung kepada pengendali makanan bukan warganegara disebabkan bayaran murah dan kurang risiko berhenti kerja kerana meraka sememangnya merantau untuk mengumpul rezeki.

Namun begitu, akibat daripada ini isu pengendalian makanan yang sehat diabaikan justeru menyumbang kepada peningkatan kes keracunan makanan.

Kesukaran Mendapat Pekerja Tempatan

Peraturan itu walau dilihat sebagai langkah proaktif kerajaan bagi mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing dan menjaga kualiti makanan, namun rata-rata pengusaha industri berpendapat ia tidak wajar dilaksanakan secara mendadak dan tempoh 6 bulan yang diberikan adalah teralu singkat.

Ketua Eksekutif Kumpulan Restoran Kayu Nasi Kandar Sirajudin Mohamed Mydin berkata pelaksanaan peraturan itu perlu mengambil kira masalah yang akan dihadapi pengusaha restoran tempatan, khususnya untuk mencari pengganti tukang masak dalam masa singkat.

“Ia tidak mudah bagi kami (pengusaha makanan) untuk mencari tukang masak yang bagus dalam masa yang singkat.

“Bagaimanapun kami boleh melatih pekerja baharu (tempatan) tetapi ia mengambil masa untuk mendapatkan kemahiran memasak itu,” katanya  di Kuala Lumpur semalam.

Ketika kerajaan melihat langkah itu lebih kepada untuk mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing dan meningkatkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan, ramai yang menganggapnya sebagai keputusan terburu-buru tanpa kajian teliti serta menyeluruh.

Jika diimbas semula, larangan ini bukan sesuatu yang baharu kerana kerajaan Pulau Pinang sejak 2014 sudah mengenakan perkara sama di restoran dan kedai makan negeri itu. Ia bertujuan memastikan warisan makanan negara kekal terpelihara.

Namun, kebergantungan pengusaha restoran dan kedai makan, terutama di Lembah Klang terhadap pekerja asing ternyata meresahkan mereka apabila cadangan yang sama mahu dikuatkuasa oleh Kerajaan Pusat.

Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Seni Kulinari dan Gastronomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Ahmad Esa Abdul Rahman, berkata isu kos buruh dan gaji antara tukang masak tempatan dan warga asing bukan sesuatu yang baharu, malah sudah lama diperjuangkan pihaknya dalam usaha meningkatkan martabat dan kualiti tukang masak tempatan.

Katanya, mana-mana pengusaha restoran pasti mahu mengurangkan kos operasi termasuk upah buruh. Justeru, jalan paling mudah adalah mengambil pekerja asing yang gaji mereka jauh lebih rendah berbanding tukang masak atau pekerja tempatan.

“Malah, kajian kami menunjukkan rata-rata graduan kulinari menolak bekerja sebagai tukang masak memandangkan gaji yang ditawarkan kepada mereka cukup rendah berbanding kelulusan yang dimiliki. Jika dibandingkan dengan kelulusan yang dimiliki, mereka lebih selesa memilih kerjaya sebagai penyelia restoran berbanding tukang masak.

Gaji Tak Sepadan Beban Kerja

“Tidak ramai yang bersedia atau sanggup menjadi tukang masak di restoran biasa kerana kalau ada pun hanya di restoran milik bekas graduan kulinari juga kerana hanya pengusaha terbabit yang memahami dilema yang dihadapi sesama mereka,” katanya.

Justeru, beliau percaya isu tukang masak warga asing ini tidak akan dapat diselesaikan selagi masalah kos buruh dan tangga gaji tukang masak tempatan yang masih rendah tidak diselesaikan.

Memang cukup mudah untuk melabel pekerja tempatan sebagai tidak setia dan suka melompat kerja, namun hakikatnya mereka juga mahu membina kerjaya dan mencari gaji lebih baik, setimpal bakat serta kelulusan dimiliki.

Berbanding pekerja asing, golongan itu sebenarnya lebih terikat dengan kontrak kerja selain pasport dipegang majikan menyebabkan suka atau tidak pekerja terbabit akan terus kekal di tempat sama untuk tempoh lama.

Insentif Menarik Cara Pikat Pekerja Tempatan

Sampai bila kita mahu terus bergantung kepada khidmat pekerja asing sedangkan kita masih mempunyai ramai bakat tempatan yang perlu diberi peluang dan mampu melakukan kerja yang jauh lebih baik.

Paling penting, selain dapat mengekalkan kualiti kebersihan makanan, keaslian cita rasa makanan tempatan kita juga akan terus kekal terpelihara.

Sudah tiba masanya pengusaha restoran di negara ini mengambil contoh negara luar, terutama di Eropah dalam menguruskan premis mereka dengan mengambil kira kekangan sumber dalam menguruskan operasi perniagaan.

Kebanyakan negara Barat tidak bergantung kepada pekerja asing, termasuk dalam menguruskan restoran atau kedai makan walaupun menyedari masalah pekerja terhad dihadapi mereka.

Bagi mengatasi masalah itu mereka mengehadkan waktu operasi dengan hanya membuka restoran ketika waktu makan tengah hari dan makan malam.

Tetapi lihat sahaja di negara kita kedai makan dan restoran beroperasi sepanjang hari hingga lewat malam, malah ada yang menjalankan operasi 24 jam.

Bilangan restoran dan kedai makan di negara kita juga bukan sedikit. Mungkin ini juga menyebabkan lambakan tukang masak warga asing.

Jika semua perkara itu diambil kira,  ada wajarnya langkah dibuat kerajaan untuk mengurangkan khidmat tukang masak warga asing kerana kita tidak lagi memerlukan pengaruh asing hingga warisan makanan pun turut terjejas dan semakin hilang identitinya.

Seorang pengusaha restoran tempatan, Jemain Sakat, 54, berpendapat cadangan itu adalah wajar, namun tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa kerana faktor kekangan tenaga fizikal daripada warga tempatan sendiri.

“Orang kita (tempatan) tidak mahu bekerja lebih masa dan kekuatan fizikal tidak sama dengan pekerja asing selain faktor gaji dan kebanyakan mereka lebih memilih hotel sebagai destinasi kerjaya,” katanya yang telah mengusahakan perniagaan makanan selama 10 tahun.

Peniaga restoran dan tukang masak, Mohamad Zulkifli Abdul Ghani, 28, bersetuju cadangan polisi itu dilaksanakan sekiranya kemahiran memasak serta komitmen warga tempatan setaraf dengan warga asing.

“Sukar nak jumpa mereka (warga tempatan) yang sanggup bekerja lebih daripada lapan jam,” katanya.

Kesan Kepada Ekonomi

Umum telah ketahui ekonomi Malaysia pada saat ini berada dalam keadaan yang agak lemah. Sedikit demi sedikit laporan ketirisan kewangan negara yang dikendalikan oleh kerajaan yang terdahulu sedikit sebanyak membimbangkan pelabur untuk melabur di negara kita dan banyak yang telah menarik pelaburan mereka.

Untuk memakmurkan kembali ekonomi negara, pengeluaran wang harus diminimakan keluar dan perbelanjaan dalam negeri harus digalakkan.

Ini yang membimbangkan apabila pekerja warga asing bekerja, mereka berbelanja amat sedikit sekali di negara ini dan kebanyakannya menghantar pulang wang ke negara mereka.

Lambakan graduan kulinari yang tidak mendapat kerja juga menyumbang kepada kemelesetan ekonomi. Isunya bukan ‘memilih kerja’ disini, isunya adalah gaji yang ditawarkan setara dengan gaji warga asing yang tidak wajar dilakukan kerana kita warga tempatan ada potongan KWSP, PERKESO, CUKAI sedangkan mereka tidak menyumbang kepada agensi tersebut malah kepada negara.

Kesimpulan

Hanya tukang masak tempatan dibenarkan adalah langkah yang bijak oleh kerajaan namun ia perlu diberi penelitian dari pelbagai aspek dan kedua pihak majikan dan juga pekerja.

Untuk menjayakan ini, kerjasama dari pelbagai pihak perlu ditekankan.

Isu gaji adalah faktor utama warga tempatan tidak sanggup untuk bekerja dan ini perlu diberi perhatian.

Langkah seterusnya yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan ialah mengehadkan operasi kedai makan kepada jam 10 sahaja yang pernah di utarakan suatu ketika dahulu untuk menangani masalah sosial lepak dan peningkatan kadar obesiti negara.

Subscribe!

Dapatkan info , event, hebahan terkini terus ke email anda.

Share sekiranya bermanfaat :)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on linkedin

Komen:

mood_bad
  • No comments yet.
  • Add a comment