Pesta Lemang Chini 2016 Bakar 6,500 Lemang

By | August 1, 2016
pesta lemang chini 2016 bakar 6500 lemang

Sebahagian peserta Pesta Lemang Chini menunjukkan tanda kepuasan

Pesta Lemang Chini 2016, Kuantan

Pesta Lemang Chini 2016 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tahun ini disambut meriah apabila kali pertama disambut membabitkan penyertaan daripada 10 gugusan FELDA Wilayah Kuantan di Bandar Dara Chini, di sini, malam kelmarin.

Antara gugusan FELDA yang turut menyertai acara tahunan kali ini termasuk FELDA Chini, Keratong, Selendang, Bukit Sagu dan Lepar, selain wakil beberapa jabatan kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini Datuk Abu Bakar Harun berkata, sebanyak 50 pasukan dengan 1,000 peserta menyertai acara tahun ini dan kira-kira 6,500 batang lemang dibakar pada malam berkenaan.

5,000 Pengunjung

“Acara tahun ini juga berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung bagi memeriahkan pesta yang diisi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya persembahan nyanyian, cabutan bertuah dan gerai jualan.

“Tiga pasukan dipilih sebagai pemenang berdasarkan keenakan lemang, kreativiti serta persembahan mereka, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Pahang berkata, penganjuran pesta berkenaan dilihat berjaya mengeratkan hubungan serta meningkatkan semangat kerjasama antara penduduk di FELDA Chini, sekali gus diperluaskan dengan pembabitan gugusan FELDA lain.

“Peserta menunjukkan semangat kerjasama yang baik sepanjang acara berlangsung dan selepas tujuh tahun mengadakan pesta bakar lemang ini, hubungan masyarakat bertambah erat.

“Sebenarnya konsep bakar lemang itu sendiri simbolik kepada perpaduan dan kerjasama iaitu antara buluh, pulut dan api yang saling diperlukan untuk menghasilkan sebatang lemang,” katanya.

Sumber : hmetro.com.my

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *