Proses dan Cara permohonan Sijil MeSTI

By | June 24, 2014

Tujuan Skim Pensijilan MeSTI ini adalah bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana dalam melaksanakan program jaminan keselamatan makanan agar tahap keselamatan makanan dapat ditingkatkan dan seterusnya dapat meningkatkan tahap kemajuan dan pendapatan pengusaha makanan.Usaha ini sejajar dengan aspirasi negara untuk memberi perubahan dan peningkatan dalam kualiti kehidupan penduduk luar bandar di bawah program Transformasi Penduduk Luar Bandar.

Selain daripada itu, skim ini juga boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk PKS demi meningkatkan sistem Jaminan Keselamatan Makanan pada tahap yang yang memenuhi piawaian antarabangsa seperti pengiktirafan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Skim Pensijilan MeSTI juga menjalinkan usahasama dengan agensi-agensi lain seperti Skim 1Malaysia Best oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Pensijilan Halal Malaysia oleh JAKIM dan Skim Penyenaraian Persaingan KPS untuk perkembangan perniagaan oleh SME Corp bagi memberi manfaat sepenuhnya kepada pengusaha makanan yang mengikuti program MeSTI yang ditawarkan ini.

Apakah Syarat atau Kriteria untuk memohon pensijilan MeSTI?

kriteria premis makanan yang ingin memohon pensijilan MeSTI adalah sepeti berikut:

  1. Perniagaan mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
  2. Perniagaan juga mestilah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pendaftaran Premis Makanan dan Borang yang disediakan ( Borang KKM-PPKM-1/09 ) yang boleh didapati secara atas talian melalui laman sesawang http://fosimdomestic.moh.gov.my
  3. Premis dimana perniagaan dijalankan hendaklah mempunyai lesen atau kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ( contoh: MBSA, DBKL, MPSJ ) atau surat pengesahan dari mana-mana agensi kerajaan.

Bagaimanakah cara memohon Pensijilan MeSTI?

Semua permohonan pensijilan MeSTI wajib dibuat menggunakan borang permohonan MeSTI-1/12 yang boleh diperolehi di tempat-tempat berikut:

  • Ibu Pejabat BKKM, KKM.
  • Jabatan Kesihatan Negeri (JKN)
  • Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)
  •  Laman Sesawang http:fsq.moh.gov.my

Semua borang permohonan yang telah lengkap hendaklah dikembalikan kepada JKN atau PKD berdekatan dengan premis perniagaan yang ingin di daftarkan.

Dokumen lengkap yang perlu dihantar adalah seperti berikut:

1. Borang Permohonan MeSTI-1/12

Borang MeSTI-1-12

2. Senarai Semak Permohonan MeSTI-2/12

Borang MeSTI-2-12

3. Senarai Semak Elemen MeSTI-3/12 (Jika Ada)

MeSTI-3-12_1     MeSTI-3-12_2     MeSTI-3-12_3

MeSTI-3-12_4     MeSTI-3-12_5      MeSTI-3-12_6

  1. Salinan Slip Pendaftaran Premis KKM
  2. Salinan lesen atau kelulusan daripada PBT atau surat pengesahan dari mana-mana agensi kerajaan.
  3. Salinan sijil pendaftaran SSM
  4. Salinan Sijil Sistem Jaminan Keselamatan Makanan (Jika Ada)
  5. Carta Alir Pemprosesan (Jika Ada)

Apakah Bayaran bagi permohonan pensijilan MeSTI?

Tiada bayaran yang dikenakan kepada pemohon bagi tujuan pengiktirafan

Proses Permohonan Pensijilan MeSTI

Carta Alir Proses permohonan pensijilan MeSTI (BARU)

Carta Alir Kelulusan Pensijilan MeSTI (BARU)

 

Semakan Permohonan Pensijilan MeSTI

Bagi pemohon yang telah mempunyai Pensijilan Sistem Jaminan Keselamatan Makanan oleh Bbadan pensijilan yang diakreditasi oleh Standards Malaysia atau Pensijilan oleh KKM, Pensijilan MeSTI diberikan tanpa audit di lapangan.

Pra Penilaiann

Pra Penilaian merupakan aktiviti audit di lapangan yang dilakukan dalam tempoh lima (5) hari dari permohonan lengkap diterima. Audit lapangan dilakukan berdasarkan informasi yang diberikan didalam Senarai Semak Elemen MeSTI-3/12

Pihak juruaudit akan menyerahkan salinan laporan awal kepada pemohon tidak lewat dari dua (2) hari dari tarikh audit lapangan dijalankan.

Bimbingan

Bimbingan akan dibuat berdasarkan penilaian juruaudit semasa laporan awal pra penilaian dilakukan bagi membantu pemohon menyediakan premis mengikut keperluan elemen-elemen MeSTI. Bimbingan yang diberikan adalah berbentuk dari pihak KKM atau bimbingan Program Pembangunan oleh pihak SME Corp atau dari agensi-agensi lain. Pemohon dikehendaki memberikan komitmen sepenuhnya di dalam proses bimbingan ini selama enam (6) bulan untuk melaksanakan tindakan pembetulan serta membangunkan program jaminan keselamatan makanan. Setelah proses bimbingan tamat, audit susulan akan dijalankan oleh juruaudit di tarikh yang ditetapkan oleh juruaudit.

Audit Susulan

Pemohon perlu mengambil tindakan pembetulan bagi kesemua ketidakpatuhan yang telah didokumentasikan oleh juruaudit dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh audit pra penilaian dijalankan. Pemohon hendaklah mengemukakan bukti bergambar atau dokumen sokongan bagi pembetulan yang telah dilakukan.

Laporan Akhir

Dalam tempoh dua (2) hari dari tarikh audit susulan dijalankan oleh juruaudit, laporan akhir audit akan dikeluarkan. Pihak juruaudit akan memberikan sokongan pensijilan sekiranya didapati pemohon telah mematuhi syarat-syarat pensijilan MeSTI.

Kelulusan

Permohonan yang telah lulus akan diberikan sijil pengiktirafan, pelekat logo MeSTI dan surat pengensahan dalam tempoh lima (5) hari selepas Ibu Pejabat BKMM, KKM menerima laporan akhir yang lengkap dari pihak JKN.

Tempoh Sah Laku Sijil MeSTI

Tempoh sah laku sijil MeSTI bagi pemohon yang telah lulus dan diiktiraf adalah selama tiga (3) tahun. Namun begitu, bagi pemohon yang diluluskan berdasarkan Sistem Jaminan Keselamatan Makanan sedia ada yang telah diiktiraf oleh Standards Malaysia atau KKM, tempoh permulaan sah pensijilan MeSTI akan mengikut tempoh sah sedia ada pada sijil Sistem Jaminan Keselamatan Makanan tersebut.

Pembaharuan Sijil MeSTI

Untuk tujuan pembaharuan Sijil MeSTI, pemohon perlu menggunakan borang MeSTI-1/12. Pembaharuan mestilah dibuat setiap tiga (3) tahun dan permohonan pembaharuan mestilah dibuat dalam tempoh tiga (3) bulan sebelum tarikh tamat sijil.

Carta Alir Kelulusan Permohonan Pensijilan MeSTI (PEMBAHARUAN)

Carta Alir Kelulusan Pensijilan MeSTI (PEMBAHARUAN)

Pembatalan Sijil

Pengiktirafan Pensijilan MeSTI boleh ditarik pada bila-bila masa berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pensijilan di Ibu Pejabat BKKM, KKM dan di atas sebab-sebab seperti berikut:

  1. Terdapat bukti produk yang dikeluarkan menjadi penyebab kepada kejadian keracunan makanan.
  2. Tidak memperbaharui sijil setelah tamat tempoh
  3. Sijil GMP atau HACCP KKM atau HACCP dari mana-mana badan pensijilan yang diiktiraf oleh KKM telah dibatalkan atau pun digantung
  4. Pengiktirafan akredetasi badan pensijilan bagi mana-mana Sistem Jaminan Keselamatan Makanan telah ditarik balik atau digantung oleh Standards Malaysia.
  5. Terdapat ketidakpatuhan yang belum ditutup melepasi tempoh tiga (3) bulan yang diberikan semasa audit pemantauan.
  6. Apabila didapati produk yang dihasilkan oleh pengusaha terbukti melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai Pensijilan ini boleh diajukan kepada alamat berikut:

Kementerian Kesihatan Malaysia, Aras 3,
Blok E7, Kompleks E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya.
No. Tel : 03-8883 3558
No. Faks : 03-8889 3815