Penting Mengenai Pengangkutan Makanan

By | March 22, 2015
Pengankutan makanan

Lori Tesco menghantar barangan yang dipesan oleh pelanggan melalui sistem atas talian.

Pengangkutan di dalam aspek mengendali makanan kebiasaannya digunakan bagi tujuan pembelian atau pembekalan bahan mentah. ia juga digunakan dalam proses penghantaran produk siap kepada pengedar-pengedar serta penjual. Oleh yang demikian, adalah penting untuk mengetahui cara mengendalikan produk tersebut bagi mengelakkan pencemaran terhadap produk siap tersebut dan sekaligus menjamin kebersihan dan keselamatan produk makanan.

Aspek yang perlu diketahui ini diwujudkan bagi memberikan penerangan yang jelas kepada pengusaha produk makanan dan individu yang menggunakan pengangkutan dalam menjalankan aktiviti mereka mengenai keperluan pengangkutan makanan seperti yang diwajibkan di bawah Peraturan 56 – Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Peraturan 56 – Kenderaan yang digunakan sebagai pengangkutan makanan hendaklah:

a) Bersih serta dapat berfungsi dengan baik.

b) Mengasingkan bahan makanan dan bukan makanan bagi menghalang pencemaran silang, jika perlu.

c) Tidak digunakan untuk mengangkut bahan berbahaya, bertoksik atau beracun.

d) Mengekalkan suhu atau kelembapan di dalam kargo kenderaan bagi melindungi makanan dari bahaya pertumbuhan mikroorganisma atau kuman atau kemerosotan terhadap keselamatan dan kualiti makanan sehingga memungkinkan ianya tidak sesuai lagi untuk dimakana.

Kebersihan Pengangkutan

Pengangkutan yang hendak digunakan bagi mengangkut makanan hendaklah dibersihkan serta dinyahjangkit setiap kali selepas digunakan bagi tujuan pengangkutan makanan berikutnya.

Pengangkutan khas diperlukan bagi mengangkut produk atau makanan yang tidak halal. Kenderaan yang digunakan bagi tujuan pengangkutan makanan hendaklah berasingan bagi bahan asal babi atau produk hasilan babi serta makanan tidak halal yang lain.

Pengangkutan bagi makanan-makanan tersebut hendaklah diasingkan dan kenderaan tersebut tidak boleh digunakan untuk mengangkut bahan-bahan atau produk makanan selain darinya. Barangan yang halal dan yang tidak halal tidak boleh menggunakan pengangkutan yang sama kecuali ia telah menjalani proses pembersihan dan sertu/samak yang sah secara syarak Islam.

Kawalan Suhu

Kenderaan bagi mengangkut makanan dingin atau sejukbeku hendaklah mempunyai ruang penyimpanan di antara -1 darjah selsius hingga 10 darjah selsius bagi makanan dingin dan -18 darjah selsius bagi makanan sejukbeku.

Ruang penyimpanan dingin atau sejukbeku di dalam kenderaan tersebut pula hendaklah dibina dari bahan tidak lelap air dan dipasang dengan kelengkapan alat penyejuk. Manakala kedudukannya haruslah memudahkan kerja-kerja pembersihan sanitasi dilakukan.

Keperluan mengekalkan suhu

Suhu di dalam kenderaan bagi mengangkut makanan dingin atau sejukbeku hendaklah dikekalkan sepanjang masa ssemasa makanan itu diangkut bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan adalah terjamin.

Perniagaan catering terutamanya pasti menggunakan kenderaan untuk menghantar menu yang di pesan kepada pelanggan. Banyak aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang dipandang remeh yang mungkin boleh membawa kepada keracunan makanan.

Adakah anda menggunakan pengangkutan dalam perniagaan makanan anda? bagaimana anda menguruskan keselamatan dan kebersihan makanan anda sewaktu penghantaran produk makanan anda? sila kongsikan di bahagian komen dibawah. Sekian.