Monthly Archives: July 2016

Cara Mohon Permit Kad Pengendalian Makanan MBSA

Panduan Lengkap Memohon Permit Kad Pengendalian Makanan MBSA

cara mohon permit kad pengendali makanan

Contoh kad pengendali makanan yang sah – sumber :sinarharian.com.my

Apa itu Kad Permit Pengendalian Makanan?

Kalau Kad Pengenalan Mykad merupakan dokumen pengenalan diri sebagai seseorang yang berstatus rakyat Malaysia, Kad pengendalian makanan pula merupakan dokumen pengenalan diri sebagai seseorang yang terlibat dalam industri memproses makanan / F&B ( Food and Beverages ).

Umumnya, setiap pengendali makanan di Malaysia wajib memiliki kad ini. Sekiranya seseorang pengendali makanan mempunyai kad ini yang masih sah, ini menandakan seseorang itu telah :

a) menghadiri Kursus Pengendalian Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia dan mempunyai Sijil Kehadiran yang Asli.

b)  mendapatkan suntikan vaksin Typhoid yang masih sah ( Biasanya tempoh sah selama 3 tahun sahaja )

c)  menjalani pemeriksaan kesihatan yang menandakan seseorang itu tidak mempunyai penyakit berjangkit kronik seperti batuk kering dan lain-lain dan sihat untuk bekerja.

d) Mempunyai permit kerja yang berkaitan ( ini bagi bukan warganegara)

Ini memudahkan pegawai kesihatan memeriksa pengendali makanan. Tidak perlu semak semua dokumen yang diatas, cuma perlu periksa kad pengendalian makanan sahaja.

Cara Memohon Permit Kad Pengendalian Makanan MBSA

Berikut merupakan langkah-langkah yang perlu diambil bagi urusan permohonan ini.

1- Dapatkan 2 borang ini di Jabatan Kesihatan Persekitaran di Tingkat 17 atau boleh muat turun dari laman web MBSA iaitu:

  • Borang Pemeriksaan Kesihatan dan Suntikan TY2 ( Doktor & Pemohon isi dengan lengkap )
  • Borang Permohonan Permit Kad Pengendalian Makanan ( Pemohon isi dengan lengkap )

2- Bawa bersama borang Pemeriksaan Kesihatan dan Suntikan TY2 berjumpa doktor dan dapatkan sutikan typhoid juga pemeriksaan kesihatan. Minta doktor menggunakan borang tersebut.

3- Hadir kursus pengendalian makanan yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia. Panel sekolah Latihan Pengendali Makanan yang dilantik boleh rujuk direktori SLPM. Hadir kursus ini dan pastikan anda diberi sijil yang asli. Sijil tersebut di fotostat.

4- Kumpulkan dokumen tersebut:

  • Borang Permohonan Permit Kad Pengendalian Makanan yang lengkap diisi
  • Borang Pemeriksaan Kesihatan dan Suntikan TY2 yang lengkap diisi dengan pengesahan dan cop doktor
  • Satu (1) salinan Sijil Kursus Pengendalian Makanan
  • Dua (2) keping gambar ukuran Kad Pengenalan
  • Satu (1) Salinan Kad Pengenalan ( Bagi Warganegara )
  • Satu (1) Salinan Pasport & Permit Kerja (Bagi bukan Warganegara) (* Tarikh tamat tempoh permit tidak kurang daripada 6 bulan pada tarikh permohonan. Permohonan hanya kepada pemilik permit kerja dan hanya terhad kepada sektor restoran dan penyediaan makanan sahaja.)

Serahkan dokumen yang disenaraikan diatas kepada MBSA tingkat 17.

Kadar Bayaran & Tempoh Sah laku Kad Pengendalian Makanan MBSA

Kadar Bayaran yang dikenakan bagi setiap permohonan adalah RM 10.00 Sahaja. Tempoh Sah Laku Kad Pengendalian Makanan – Mengikut tarikh luput suntikan TY2 atau tarikh tamat permit kerja.

Kaedah Bayaran

Lokasi :
Kaunter Utama, Lif A, Aras G, Wisma MBSA

Kaedah Bayaran:

  • Tunai
  • Kad Kredit
  • Cek – Pembayaran melalui cek dibuat atas nama :
    MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM bagi bayaran bil proses
    MBSA – AKAUN CAGARAN bagi bayaran bil cagaran

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau kemusykilan sila hubungi terus MBSA:

Jabatan Kesihatan Persekitaran,
Lif A, Tingkat 17, Wisma MBSA, Persiaran Perbandaran,
Seksyen 14, 40000 Shah Alam,
Selangor Darul Ehsan.

Telefon: 03-5510 5133 Samb. 1516

Muat Turun Borang

Pautan muat turun borang permohonan Permit Kad Pengendalian Makanan MBSA boleh di dapati di sini