Monthly Archives: March 2015

PENTING! Pertanyaan Berkenaan Mendaftar Premis Makanan 2015

Pendaftaran Premis Makanan telah termaktub di dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, namun ia dikuatkuasakan pada 1 January 2014. Ini adalah bagi meningkatkan kualiti kebersihan makanan yang dijual di negara Malaysia ini.

Oleh kerana peraturan ini baru dikuatkuasakan, masih ramai yang belum mendaftar premis mereka kerana kurang pendedahan kepada mereka berkenaan kepentingan mendaftar premis dan banyak persoalan mereka yang tidak terjawab. Oleh itu, di sini terdapat beberapa soalan lazim yang telah diajukan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan penerangannya.

Wajib Daftar Restoran

Lawatan Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di Salah Satu Premis Restoran di Sabah – Foto kredit www.sayangsabah.com

Kenapa saya perlu mendaftarkan premis makanan?

Semua premis makanan perlu didaftarkan agar aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan penyediaan, pengawetan, pembungkusan, penyimpanan, penghantaran, pengedaran atau penjualan apa-apa makanan atau pelabelan semula, pemprosesan semula atau penbungkusan semula apa-apa makanan itu dapat dijalankan seperti dinyatakan Peraturan 3(1) di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Soalan Lazim

  • Saya memasak dan menyediakan makanan di rumah sendiri untuk rumah kebajikan dan tidak mengenakan sebarang bayaran. Adakah saya wajib juga untuk berdaftar?

Hanya premis makanan yang terlibat dalam penyediaan, pemprosesan, penyimpanan dan penghidangan untuk tujuan jualan sahaja diwajibkan untuk didaftarkan.

  • Saya menyediakan juadah makanan / kuih-muih untuk dijual di pasar / gerai. Adakah saya diwajibkan berdaftar dengan KKM walaupun saya tidak mempunyai Syarikat?

Anda wajib mendaftarkan premis dengan KKM selaras dengan Peraturan 3(1) di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

  • Apakah kategori premis yang perlu berdaftar mengikut Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009?

semua premis makanan yang terlibat dalam pengilangan makanan;

semua premis makanan yang terlibat dalam katering dan katering makanan secara besar-besaran;

semua premis yang terlibat dalam penyediaan, pemprosesan, penyimpanan dan penghidangan makanan untuk dijual;

semua kenderaan yang dijadikan sebagai premis menjual makanan yang sedia untuk dimakan.

  • Saya menjalankan perniagaan katering di rumah. Maka wajibkah saya untuk mendaftar dengan Kementerian Kesihatan?

Anda wajib mendaftarkan premis dengan Kementerian Kesihatan kerana menjalankan perniagaan katering termasuk dalam kategori premis yang perlu didaftarkan.

  • Kilang kami menjalankan pembungkusan semula makanan dan tidak memproses makanan. Adakah keperluan pendaftaran itu perlu juga untuk premis seperti kami?

Anda perlu mendaftarkan premis dengan Kementerian Kesihatan kerana menjalankan pembungkusan semula makanan termasuk dalam kategori premis yang perlu didaftarkan seperti dinyatakan Peraturan 3(1) di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

  • Kami menyediakan perkhidmatan gudang makanan dan tidak menjalankan apa-apa aktiviti pemprosesan makanan. Mengikut Peraturan terbabit, adakah premis gudang kami dikehendaki berdaftar?

Anda tidak perlu mendaftarkan premis dengan Kementerian Kesihatan tetapi perlu mematuhi keperluan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

  • Saya menjual nasi lemak dan rojak dengan menggunakan kenderaan lori yang diubahsuai. Di bawah kategori manakah saya perlu berdaftar?

Anda perlu mendaftar premis dalam kategori kenderaan yang dijadikan sebagai premis menjual makanan yang sedia untuk dimakan.

  • Syarikat saya hanya menjalankan perkhidmatan pengangkutan / penghantaran makanan untuk pelanggan. Adakah saya perlu mendaftarkan Syarikat tersebut?

Anda tidak perlu mendaftar syarikat perkhidmatan pengangkutan / penghantaran makanan untuk pelanggan.

  • Apakah tindakan yang akan dikenakan jika seseorang itu gagal untuk mendaftarkan premisnya?

Seseorang itu adalah melakukan suatu kesalahan sekiranya gagal untuk mendaftarkan premisnya dan boleh disabitkan denda tidak melebihi RM 10,000.00 atau penjara selama tidak melebihi dua tahun.

  • Berapa lamakah tempoh pendaftaran sah dan adakah perlu diperbaharui?

Tempoh sah bagi sesuatu pendaftaran premis ialah selama tiga tahun dari tarikh ia dikeluarkan. Apabila tamat tempoh, pendaftaran premis perlu diperbaharui bagi membolehkan aktiviti penjualan makanan dijalankan.

  • Jika perniagaan saya mempunyai lebih dari satu cawangan, adakah saya perlu mendaftarkan setiap cawangan walaupun di bawah satu Syarikat?

Anda perlu mendaftarkan setiap cawangan walaupun di bawah satu syarikat Keperluan ini selaras dengan peruntukan Peraturan 3(1) di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

  • Saya mendapat kontrak pembekalan makanan untuk sekolah berasrama dan juga beberapa kantin sekolah. Berdasarkan Peraturan tersebut adakah saya wajib untuk mendaftarkan premis di mana saya membekalkan / menyediakan makanan tersebut atau ianya tanggungjawab pihak sekolah terbabit?

Anda atau pihak sekolah atau wakil hendaklah mendaftarkan semua premis makanan yang terlibat dalam aktiviti penyediaan dan penjualan makanan.

  • Saya menjalankan perniagaan makanan membuat kuih dan kek secara kecil-kecilan di rumah (home made bussiness). Adakah saya perlu membuat pendaftaran premis?

Anda perlu membuat pendaftaran premis dengan Kementerian Kesihatan di bawah kategori premis yang terlibat dalam penyediaan, pemprosesan, penyimpanan dan penghidangan makanan untuk dijual.

  • Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan dan kesulitan semasa mendaftarkan premis dengan menggunakan sistem aplikasi FoSIM, bagaimanakah cara untuk menghubungi pihak pentadbir sistem ini?

Pengguna sistem aplikasi FoSIM boleh menghantar email ke alamat domestichelpdesk@moh.gov.mysekiranya ada sebarang pertanyaan atau mengalami kesulitan untuk mendaftarkan premis makanan menggunakan sistem aplikasi ini.

Sumber: fsq.moh.gov.my

Jamu Ajaib Dukun Yang Mempunyai Logo Halal JAKIM

jamu ajaib halal tapi beracun

AWAS! Jamu ajaib buatan dukun halal tapi beracun berleluasa di jual di kaki lima, dan internet.

Ubatan tradisional merupakan ubatan yang mengandungi keseluruhan atau sebahagian daripada bahan aktif yang subernya adalah daripada tumbuhan atau herba. Ia digunakan oleh orang dahulu untuk menghalang atau merawat penyakit atau juga bagi meningkatkan tahap kesihatan.

Ubatan herba disediakan sama ada dalam bentuk asal bahagian tumbuhan tersebut seperti bunga, buah, daun, ubi, akar atau dalam bentuk cecair iaitu rebusan bahan-bahan tersebut. Namun pada masa ini apabila kebanyakannya dikomersilkan, pembungkusannya lebuih moden iaitu bahan-bahan tersebut diekstrak atau dijadikan dalam bentuk kapsul bagi memudahkan pengambilannya.

Ubat tradisional atau jamu terlalu banyak dijual di kaki lima, kedai-kedai jamu dan di internet di Malaysia ini secara tidak terkawal. Sayangnya banyak ubat yang dijual secara berleluasa mengandungi steroid. Memang mujarab, namun tanpa pemantauan boleh menyebabkan kesan samping terutama ginjal dan hati.

Jamu Ajaib Tidak Berdaftar Dengan PBKD

Semua ubat-ubatan sama ada ubat farmaseutikal mahupun ubat tradisional perlu terlebih dahulu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum ianya boleh diimport, dikilangkan atau dijual di Malaysia. Objektif pendaftaran produk adalah bagi memastikan semua produk farmaseutikal yang didaftarkan telah dinilai dari aspek keselamatan, keberkesanan dan kualiti, manakala produk tradisional dinilai dan diuji dari aspek keselamatan dan kualiti dengan tujuan utama bagi melindungi dan menjamin kesihatan rakyat.

Jamu ajaib ini jelas tiada no siri pendaftaran dengan Kementerian Kesihatan di bawah badan PBKD pada pembungkusannya. Produk ini tidak mungkin akan mendapat pengiktirafan daripada PBKD kerana hasil kajian yang telah dilakukan mendapati bahan aktif beracun yang terdapat pada jamu ajaib ini ialah indomethacin. ( sumber: www.ubatbahaya.com )

Orang yang mengambil ubat bukan steroid anti-radang (NSAID) (selain daripada aspirin) seperti indomethacin mungkin mempunyai risiko yang lebih tinggi mendapat serangan jantung atau strok berbanding mereka yang tidak mengambil ubat-ubatan ini. kejadian ini boleh berlaku tanpa amaran dan boleh menyebabkan kematian. Risiko ini mungkin lebih tinggi bagi orang-orang yang mengambil NSAID untuk masa yang lama. (sumber : www.nlm.nih.gov )

Jamu Ajaib di Proses Oleh Dukun Tetapi Mempunyai Logo Halal JAKIM?

 

20141212_160028                             20141212_160040

Diproses oleh Dukun Haji Salleh dan mempunyai logo halal JAKIM

Bedasarkan Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011:

 Penggunaan perihal “Halal” atau dengan apa-apa ungkapan lain oleh peniaga tidak diwajibkan di bawah undang-undang yang sedia ada. Walau bagaimanapun, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 memperuntukkan bahawa apabila suatu makanan atau barang-barang diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam, ungkapan tersebut bererti makanan atau barang-barang itu:

(a) bukanlah dan tidaklah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang dilarang oleh Hukum Syarak bagi orang Islam untuk memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak;

(b) tidak mengandungi apa-apa benda yang najis mengikut Hukum Syarak

(c) tidak memabukkan mengikut Hukum  Syarak;

(d) tidak mengandungi mana-mana bahagian anggota manusia atau hasilan daripadanya yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak;

(e) tidak beracun atau memudaratkan kesihatan;

(f) tidak disediakan, diproses atau dikilang menggunakan apa-apa peralatan yang dicemari najis mengikut Hukum Syarak;

Jelas pula ia adalah haram dimakan oleh orang Islam kerana ia diperbuat oleh dukun. Imam Muslim meriwayatkan dalam Shahih-nya bahwa Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallambersabda,

Barangsiapa mendatangi peramal lalu menanyakan kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima shalatnya selama 40 hari.”

 Industri Halal Yang Menguntungkan

Industri Halal memang sesuatu yang besar dan menguntungkan kerana ia membabitkan industri global bukan sahaja di Malaysia. Industri halal di Malaysia baru meningkat maju dalam 5 tahun ini semenjak 2011 apabila kempen dan penggunaan logo halal di ambil serius oleh JAKIM dan sistem pensijilan dan pemantauan telah dinaiktaraf.

Dengan ini terjadi, ramai pula yang mengambil kesempatan dengan menggunakan logo Halal dengan sewenang-wenangnya tanpa mematuhi keperluan umum pensijilan halal Malaysia oleh JAKIM. Ini pasti mengelirukan pengguna yang menganggap produk ubatan ini selamat dan halal untuk dimakan.

Ada produk lain yang anda tahu? tinggalkan komen anda disini.

Penting Mengenai Pengangkutan Makanan

Pengankutan makanan

Lori Tesco menghantar barangan yang dipesan oleh pelanggan melalui sistem atas talian.

Pengangkutan di dalam aspek mengendali makanan kebiasaannya digunakan bagi tujuan pembelian atau pembekalan bahan mentah. ia juga digunakan dalam proses penghantaran produk siap kepada pengedar-pengedar serta penjual. Oleh yang demikian, adalah penting untuk mengetahui cara mengendalikan produk tersebut bagi mengelakkan pencemaran terhadap produk siap tersebut dan sekaligus menjamin kebersihan dan keselamatan produk makanan.

Aspek yang perlu diketahui ini diwujudkan bagi memberikan penerangan yang jelas kepada pengusaha produk makanan dan individu yang menggunakan pengangkutan dalam menjalankan aktiviti mereka mengenai keperluan pengangkutan makanan seperti yang diwajibkan di bawah Peraturan 56 – Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, Peraturan 56 – Kenderaan yang digunakan sebagai pengangkutan makanan hendaklah:

a) Bersih serta dapat berfungsi dengan baik.

b) Mengasingkan bahan makanan dan bukan makanan bagi menghalang pencemaran silang, jika perlu.

c) Tidak digunakan untuk mengangkut bahan berbahaya, bertoksik atau beracun.

d) Mengekalkan suhu atau kelembapan di dalam kargo kenderaan bagi melindungi makanan dari bahaya pertumbuhan mikroorganisma atau kuman atau kemerosotan terhadap keselamatan dan kualiti makanan sehingga memungkinkan ianya tidak sesuai lagi untuk dimakana.

Kebersihan Pengangkutan

Pengangkutan yang hendak digunakan bagi mengangkut makanan hendaklah dibersihkan serta dinyahjangkit setiap kali selepas digunakan bagi tujuan pengangkutan makanan berikutnya.

Pengangkutan khas diperlukan bagi mengangkut produk atau makanan yang tidak halal. Kenderaan yang digunakan bagi tujuan pengangkutan makanan hendaklah berasingan bagi bahan asal babi atau produk hasilan babi serta makanan tidak halal yang lain.

Pengangkutan bagi makanan-makanan tersebut hendaklah diasingkan dan kenderaan tersebut tidak boleh digunakan untuk mengangkut bahan-bahan atau produk makanan selain darinya. Barangan yang halal dan yang tidak halal tidak boleh menggunakan pengangkutan yang sama kecuali ia telah menjalani proses pembersihan dan sertu/samak yang sah secara syarak Islam.

Kawalan Suhu

Kenderaan bagi mengangkut makanan dingin atau sejukbeku hendaklah mempunyai ruang penyimpanan di antara -1 darjah selsius hingga 10 darjah selsius bagi makanan dingin dan -18 darjah selsius bagi makanan sejukbeku.

Ruang penyimpanan dingin atau sejukbeku di dalam kenderaan tersebut pula hendaklah dibina dari bahan tidak lelap air dan dipasang dengan kelengkapan alat penyejuk. Manakala kedudukannya haruslah memudahkan kerja-kerja pembersihan sanitasi dilakukan.

Keperluan mengekalkan suhu

Suhu di dalam kenderaan bagi mengangkut makanan dingin atau sejukbeku hendaklah dikekalkan sepanjang masa ssemasa makanan itu diangkut bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan adalah terjamin.

Perniagaan catering terutamanya pasti menggunakan kenderaan untuk menghantar menu yang di pesan kepada pelanggan. Banyak aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang dipandang remeh yang mungkin boleh membawa kepada keracunan makanan.

Adakah anda menggunakan pengangkutan dalam perniagaan makanan anda? bagaimana anda menguruskan keselamatan dan kebersihan makanan anda sewaktu penghantaran produk makanan anda? sila kongsikan di bahagian komen dibawah. Sekian.

Panduan Kebersihan Pengendali Makanan

Tangan manusia merupakan gudang kepada bakteria dan kotoran. Di sebabkan ini, pengendali makanan merupakan antara penyumbang utama kepada pencemaran makanan. Oleh yang demikian, pengendali makanan harus berwaspada akan risiko ini dan mengambil langkah yang sepatutnya untuk menjaga kebersihan diri agar pencemaran makanan dapat dielakkan.

Panduan ini adalah berdasarkan kepada Peraturan 33, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang merupakan wajib untuk dipatuhi. Mana-mana pengendali makanan yang didapti gagal untuk mematuhi peraturan ini adalah dianggap melakukan kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh di denda tidak melebihi SEPULUH RIBU RINGGIT MALAYSIA ( RM10,000.00 ) atau penjara tidak melebihi DUA ( 2 ) Tahun.

Berikut merupakan garis panduan bagi pengendali makanan semasa mengendali, menyediakan, membungkus, membawa, menyimpan, mempamer dan menghidang makanan:

  • Rambut mestilah kemas, iaitu dengan mengikat sekiranyapanjang dan hendaklah sentiasa memakai penutup kepala sepanjang mengendalikan makanan.
  • Kuku hendaklah sentiasa pendek dan bersih.
  • Pengendali makanan tidak dibenarkan memakai perhiasan diri seperti Jam, gelang, cincin. Ini bagi mengelakkan dari ia termasuk ke dalam makanan yang disediakan dan juga mengelakkan dari kuman atau kotoran dari perhiasan tersebut mencemari makanan yang disediakan.
  • Pengendali makanan dilarang mengisi apa-apa barang di dalam poket pakaian termasuk apron. Apron yang digunakan juga adalah digalakkan untuk menggunakan apron yang tiada poket.
  • Pengendali makanan digalakkan sentiasa menjaga kebersihan diri terutama dari segi pakaian.
  • Pengendali makanan hendaklah menanggalkan baju luar / apron / Penutup kepala sebelum ke tandas dan setiap kali keluar dari kawasan pemprosesan / penyediaan makanan.
  • Tidak menyebabkan pencemaran makanan seperti bersin, batuk, meludah, menggaru. ( Pengendali makanan wajib menjalani pemeriksaan doktor untuk memastikan anda sehat untuk bekerja )
  • Tidak merokok di kawasan pemprosesan / penyediaan makanan. Merokok hanya di tempat yang dikhaskan.
  • Misai dan janggut hendaklah dikemas rapi. Sekiranya perlu, hendaklah memakai ‘Face Mask’

Sekiranya pengendali makanan mengambil inisiatif mematuhi panduan yang diberikan, tahap kebersihan makanan di Malaysia pasti akan meningkat sekaligus mengurangkan kes keracunan makanan yang pasti menguntungkan pengusaha makanan dan negara kita Malaysia. Untuk penerangan yang lebih jelas, hadiri kursus pengendalian makanan yang di kendalikan oleh Sekolah Latihan Pengendali Makanan dan tenaga pengajar yang bertauliah.