Monthly Archives: May 2014

Permohonan Akreditasi Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM)

Latar Belakang

Malaysia merupakan sebuah negara yang kian maju dan sudah mulai menonjol di mata dunia dan turut menjadi tumpuan pelancongan dari pelancong-pelancong dari luar negara. Namun begitu, tahap kebersihan premis yang semakin menurun dan sikap kurang peka pengendali makanan terhadap kebersihan makanan telah menggerakkan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk bertindak dengan lebih agresif dalam meningkatkan latihan kepada pengendali makanan. Tahun 2014 juga merupakan tahun yang penting kerana ia merupakan tahun melawat malaysia yang semestinya bilangan pelancong dari luar negara akan bertambah dari kebiasaan.

Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil langkah untuk menswastakan Latihan tersebut demi memperluaskan Sekolah Latihan Pengendali Makanan dan mempermudahkan para pengendali makanan untuk mendapatkan latihan tersebut.

Syarikat swasta yang telah menepati syarat-syarat yang ditetapkan dan telah ditauliahkan akan dikenali sebagai Sekolah Latihan pengendali Makanan atau SLPM. Program SLPM ini diperkenalkan pada tahun 1996 dengan memperkenalkan modul yang seragam yang akan digunapakai oleh semua SLPM dan akan di ajar oleh tenaga pengajar yang juga diiktiraf oleh Kementeria Kesihatan Malaysia.

7 – Syarat akreditasi SLPM

Pemohon akreditasi SLPM hendaklah menyediakan dokumen berikut:

  1. Borang permohonan Baru Pengiktirafan SLPM ( KKM163/SLPM/BPp10)

              ( Borang boleh didapati di Jabatan Kesihatan Negeri Yang berkenaan )

        2. Borang Persetujuan Tenaga Pengajar (KKM163/SLPM/BPTP10)

                ( Borang boleh didapati di Jabatan Kesihatan Negeri Yang berkenaan )

        3. Salinan Pendaftaran syarikat dengan suruhanjaya syarikat Malaysia ( SSM )

        4. Salinan Kad Pengenalan Pemohon

        5. Salinan Sijil Pengiktirafan Tenaga Pengajar

        6. Pelan lokasi Pejabat dan Tempat Latihan

        7. Gambar Bilik Latihan

*Modul dan Program Latihan Pengendali Makanan akan diberikan kepada SLPM setelah mendapat akreditasi

Akreditasi SLPM

  • Tempoh Akreditasi SLPM adalah selama 2 tahun
  • Pembaharuan akreditasi hendaklah dibuat selewat-lewatnya 3 bulan sebelum tarikh sijil pengiktirafan tamat.
  • Akreditasi boleh ditarik balik sekiranya didapati melanggar syarat-syarat pengiktirafan SLPM.
  • Pihak SLPM perlu membuat laporan polis sekiranya kehilangan sijil Akreditasi SLPM.

akreditasi sekolah latihan pengendali makanan

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada:

BAHAGIAN KESELAMATAN DAN KUALITI MAKANAN
Kementerian Kesihatan Malaysia Aras 3,
Blok E7, Parcel E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 WP Putrajaya, Malaysia.
Tel: +603-8883 3558
Faks: +603-8889 3815 / 3341

Suntikan Typhoid Untuk Pengendali Makanan

Pengenalan

Demam tifoid/typhoid atau lebih dikenali sebagai demam kepialu di Malaysia merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Salmonella Enterica atau secara lebih khusus Salmonella Typhii dan sedemikian demam ini dipanggil sempena nama bakteria tersebut. Penyakit ini boleh didapati di seluruh dunia dan cara penyebarannya adalah melalui makanan dan minuman yang telah tercemar oleh najis. Jangkitan ini boleh menjejaskan seluruh badan dan merosakkan pelbagai organ-organ. Melainkan dirawat, jangkitan ini boleh membawa kesan yang mengancam nyawa. Mengikut kajian, risiko kematian oleh penyakit ini adalah sebanyak 10-30%.

Sejarah

Di sekitar kurun ke 430-424 sebelum Masihi, terjadi satu malapetaka yang dipercayai demam kepialu yang telah mengorbankan hampir satu per tiga daripada penduduk Athens termasuk pemimpin mereka iaitu Pericles. Ahli sejarah kuno Thucydides juga tidak terkecuali dari jangkitan ini namun dia terselamat daripada penyakit tersebut dan menulis mengenainya.

Pada tahun 1897, Edward Wright Almorth telah menemui vaksin yang berkesan dalam menangani penyakit ini. Pada tahun 1909 pula, Frederick F. Russell, seorang doktor tentera Amerika Syarikat membangunkan vaksin Typhoid dan selepas dua tahun program suntikan vaksin anti-typhoid menjadi yang pertama di mana suntikan tersebut diberikan kepada semua anggota tentera Amerika Syarikat.

Setelah penemuan tersebut dan kemajuan penyelidikan serta peningkatan kebersihan, kebanyakan negara-negara maju telah mendapati penurunan demam kepialu pada sepanjang separuh pertama abad ke-20.

Jenis-jenis vaksin anti-typhoid

Di Malaysia, terdapat 2 jenis vaksin anti-typhoid yang digunapakai iaitu vaksin yang berbentuk pil(untuk dimakan) dan vaksin yang diberikan melalui suntikan. Namun begitu penggunaan vaksin suntikan lebih popular berbanding pil di Malaysia.

Vaksin tifoid pil:

  • Vaksin diberikan dalam bentuk kapsul. Diberikan 3 kapsul yang dimakan pada hari ke 1, 3, dan 5.

    suntikan typhoid

    Foto Kredit: Voisin/Phanie / Rex Feature

  • vaksin diberikan kepada individu yang berumur lebih dari 6 tahun ke atas.
  • Imunisasi diberikan setiap 3 tahun bagi pengendali makanan.

Vaksin Tifoid suntikan:

  • Vaksin disuntikkan di lengan atau paha.
  • vaksin diberikan kepada individu yang berumur lebih dari 2 tahun ke atas.
  • Imunisasi diberikan setiap 3 tahun bagi pengendali makanan.

Suntikan Pengendali Makanan

Semua pengendali makanan di Malaysia wajib patuh kepada AKTA MAKANAN 1983 dan AKTA KAWALAN PENYAKIT 1988 yang tertulis:

AKTA MAKANAN 1983
Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009
Pemeriksaan perubatan dan keadaan kesihatan pengendali makanan

31. (1) Semua pengendali makanan hendaklah diperiksa dari segi kesihatan dan diberi vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar.
(2) Mana-mana pengendali makanan yang menghidap, atau merupakan pembawa penyakit bawaan makanan atau yang disyaki menghidap, atau merupakan pembawa penyakit bawaan makanan hendaklah—
(a) tidak dibenarkan untuk memasuki premis makanan atau mengendalikan makanan;
(b) melaporkan dengan segera kepada pihak pengurusan premis makanan berkenaan dengan keadaan kesihatannya; dan
(c) digantung daripada bekerja di premis makanan sehingga dia disahkan sembuh daripada penyakit dan sihat dari segi perubatan untuk bekerja oleh pengamal perubatan berdaftar sebelum dia dibenarkan untuk memasuki premis makanan itu atau mengendalikan makanan.

(3) Mana-mana pengendali makanan yang tidak mematuhi subperaturan (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Suntikan typhoid di Klinik Kerajaan

Adalah menjadi tanggungjawab majikan dan pengendali makanan untuk mendapatkan vaksin imunisasi ani-typhoid bagi mengawal penularan penyakit demam kepialu. suntikan typhoid boleh didapat di Klinik kerajaan mahupun agensi-agensi kerajaan yang bekerjasama seperti PBT.

Suntikan Typhoid di Klinik Swasta

Suntikan imunisasi ini juga boleh didapati di klinik-klinik swasta berhampiran namun begitu tidak semua klinik yang menyediakan perkhidmatan ini disebabkan permintaan yang kurang dan keengganan mereka menyimpan stok vaksin yang mempunyai tarikh luput yang singkat. Kadar harga suntikan vaksin ini boleh didapati di klinik swasta pada kadar harga RM 50.00 – RM85.00

Keperluan mendapatkan Suntikan typhoid bagi pengendali makanan

Bagi pengendali makanan, pastikan anda menyediakan gambar terkini berukuran passport. Ini adalah kerana, selepas suntikan dibuat Kad Suntikan Typhoid akan diberikan kepada anda dengan gambar dan cop doktor tersebut tertera pada kad mengesahkan bahawa anda telah mengambil suntikan Typhoid pada tarikh tersebut. Pastikan juga anda mendapat surat pengesahan doktor yang mengesahkan anda telah mendapat suntikan tersebut.

Lokasi untuk mendapat suntikan pelalian Typhoid

Untuk mengetahui dimana anda boleh mendapatkan suntikan typhoid, sila semak di bahagian muka hadapan laman ini dan mulakan carian berdasarkan lokasi anda.

Sutikan Typhoid Paling Murah Di Kuala Lumpur

Bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur, anda amat bertuah kerana anda boleh mendapatkan suntikan Pelalian Typhoid dengan kadar paling murah diseluruh Malaysia iaitu dengan bayaran hanya RM21.50. Tempatnya adalah di klinik DBKL. Alamat lengkap adalah seperti berikut:

Klinik DBKL,

Tingkat 1, Jabatan Kesihatan & Alam Sekitar, DBKL,

KM4, Jalan Cheras 50350 Kuala Lumpur.

Mengapa Klinik DBKL boleh menawarkan suntikan yang begitu murah? Ini adalah kerana harga tersebut telah termasuk subsidi kerajaan. Namun begitu, oleh disebabkan harga yang cukup murah, orang yang beratur juga ramai dan sesak dan anda disarankan datang awal ke sana. Waktu untuk mendapatkan suntikan juga adalah terhad. Sila rujuk jadual di bawah:

 

Hari Masa
Isnin – Selasa 8.00 pagi – 12.30 tengah hari
2.00 petang – 3.30 petang
Rabu – Khamis 8.00 pagi – 12.30 tengah hari
Jumaat

8.00 pagi – 11.30 pagi

Berkuatkuasa 16 Mei 2016, pihak DBKL menaikkan kadar bayaran bagi perkhidmatan suntikan Typhoid pengendali makanan. Harga lama iaitu RM21.50 telah dinaikkan kepada RM40.00 bagi warganegara Malaysia / Permastautin Tetap / Permastautin Sementara manakala RM50.00 bagi Bukan Warganegara.

Penggantian kad baharu disebabkan hilang atau rosak dikenakan bayaran sebanyak RM10.00.

Kadar Baru Suntikan Typhoid DBKL Cheras berkuatkuasa 16 Mei 2016

Kadar Baru Suntikan Typhoid DBKL Cheras berkuatkuasa 16 Mei 2016 – sumber www.dbkl.gov.my

Dengarkan Versi Audio

Pengenalan Kepada Kursus Pengendalian Makanan Malaysia

Pengenalan

Menjamu selera di restoran bukanlah lagi merupakan satu trend tetapi sudah menjadi satu kewajiban terutama di bandar-bandar metropolitan dimana ramai dari golongan bekerjaya yang wajib untuk menjamu makan tengah hari di restoran kerana adalah hampir mustahil pada masa kini untuk pulang ke rumah untuk makan tengah hari. Namun begitu, kita sering alpa dengan keadaan persekitaran apatah lagi kebersihan di dapur premis dimana makanan dihasilkan. Kebersihan sering di ambil ringan oleh sesetengah individu yang tidak mengambil berat tentang kebersihan diri secara tidak langsung akan menjejaskan kualiti makanan yang dihasilkan.

Manusia memerlukan makanan untuk meneruskan kehidupan. Namun begitu, makanan yang tidak bersih dan tercemar boleh mendatangkan mudarat pada kesihatan tubuh. Kebersihan dan keselamatan makanan haruslah dijaga setiap masa agar fungsi tubuh dapat berjalan dengan optimum sepanjang hari tidak kira di rumah atau di restoran. Persoalannya, adakah masyarakat kita di Malaysia khususnya peka terhadap kebersihan makanan?

Kuman, bakteria, virus, bahan kimia industri dan juga racun semula jadi pada ubi kayu, ikan dan cendawan boleh menjadi penyebab kepada keracunan makanan. Antara jenis mkanan yang kritikal yang mudah dicemari ialah ayam, daging, susu segar, dan makanan-makanan yang telah bermasak dan berkuar terutama masakan melayu yang kebanyakannya berasaskan santan. Gejala keracunan makanan adalah berpunca daripada makanan yang tercemar. Makanan yang bersih penting bagi keselamatan individu.

Akta dan perundangan

Kebersihan dan keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama. Sama ada kepada pengguna, mahupun peniaga. Sebagai pengguna, kita berhak memilih jenis makanan yang hendak dibeli. Yang penting pastikan premis bersih dan makanan dikendalikan dengan cara yang betul.

Setiap individu mestilah tahu hak-hak mereka dalam memilih premis yang bersih. Setiap peniaga bertanggungjawab makanan yang dijual adalah selamat. Pihak KKM sentiasa menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mengikuti undang-undang yang digunakan. Adakah para peniaga sedar akan tanggungjawab mereka?

Kerajaan Malaysia telah menetapkan semua pengendali makanan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung wajib berpandukan kepada garis panduan yang telah ditetapkan di dalam AKTA MAKANAN 1983 – Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, Peraturan-PeraturanMakanan 1985, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit  1988. Di dalam peraturan tersebut, ada mengetakan bahawa setiap pengendali makanan wajib mengambil pelalian anti-typhoid dan telah menghadiri Kursus Pengendalian Makanan selama 3 Jam.

Suntikan anti-typhoid atau di Malaysia lebih disebut sebagai suntikan Typhoid merupakan Vaccine atau pelalian yang wajib diambil oleh semua pengendali makanan bagi mengelakkan tersebarnya penyakit demam kepialu melalui makanan yang dikendalikan oleh mereka kepada pelanggan.

Kursus Pengendalian Makanan

Kursus ini wajib dihadiri oleh semua pengendali makanan di Malaysia. Siapakah merekaContoh Sijil Pengendalian Makanan yang tergolong di dalam kategori pengendali makanan?

Definisi pengendalian mengikut Akta Makanan 1983 adalah seperti berikut:’

pengendali makanan” termasuklah mana-mana orang yang:
(a) terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan;
(b) menyentuh makanan atau permukaan yang menyentuh makanan; dan
(c) mengendalikan makanan yang dibungkus atau tidak dibungkus, atau perkakas,

Ini bermaksud semua orang yang terlibat dalam industri makanan seperti chef, tukang masak, tukang hidang makanan, pemandu lori yang membawa makanan, operator pengeluaran makanan di kilang mahupun penyelia wajib patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan wajib untuk menghadiri kursus tersebut.

Tempat Kursus pengendalian Makanan di adakan

Kementerian Kesihatan Malaysia selaras dengan penguatkuasaanya telah menetapkan bebberapa lokasi bagi mengikuti kursus tersebut di seluruh Malaysia. kerjesama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah memudahkan lagi pengambilan kursus tersebut. Secara umumnya, kursus ini boleh dihadiri di semua PBT daerah seperti Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan lain-lain.

Kemmenterian Kesihatan Malaysia juga telah melantik beberapa syarikat swasta yang akan membantu menganjurkan kursus tersebut yang dikenali sebagai Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM). Ini merupakan usaha Kementerian kesihatan dalam memudahkan lagi proses menghadiri kursus tersebut.

Bayaran

Berapakah bayaran yang dikenakan untuk Kursus Pengendalian Makanan? Kementerian Kesihatan Malaysia telah menetapkan bayaran sebanyak RM 50.00 seorang untuk mengikuti kursus tersebut samada di syarikat swasta mahupun di PBT.

Kandungan Kursus

Peserta kursus akan didedahkan dengan pelbagai kandungan menarik dan penuh informasi berpandukan modul yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia selama 3 Jam. Kursus tersebut akan dibentangkan oleh seorang pelatih pengendali makanan yang telah mengikuti Program latihan pengendali makanan anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia. Modul tersebut terbahagi kepada 4 seksyen iaitu:

  • Pengenalan
  • Kebersihan Makanan
  • Keselamatan Makanan
  • Faktor – Faktor Kritikal Keracunan Makanan

Peserta akan didedahkan dengan lebih jelas oleh penceramah yang bertauliah berdasarkan 4 seksyen yang dijelaskan di atas. Setelah Tamat kursus, peserta layak untuk menerima sijil tamat kursus pengendalian makanan yang dikeluarkan oleh Sekolah Latihan Pengendali Makanan yang menganjurkan kursus tersebut.

Penguatkuasaan, Pemantauan dan Kompaun

Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Pihak Berkuasa tempatan akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan kesemua premis-premis yang menjalankan perniagaan berasaskan makanan agar peraturan-peraturan kebersihan makanan sentiasa dipatuhi.

Pegawai penguatkuasa mempunyai hak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau syarikat yang didapati tidak patuh kepada peraturan-peraturan tersebut. Bagi individu yang didapti tidak mempunyai sijil kursus pengendali makanan, kompaun tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun akan dikenakan. Hukuman yang sama juga akan diberikan kepada individu yang didapati tidak mengambil pelalian typhoid atau tidak dapat mempamerkan bukti pengambilan pelalian seperti Kad Suntikan atau surat pengesahan oleh doktor yang bertauliah.